Inovasi Pintar Pengesan Merkuri Di Dalam Air Sungai | PUTRA SCIENCE PARK
» ARTIKEL » Inovasi Pintar Pengesan Merkuri Di Dalam Air Sungai

Inovasi Pintar Pengesan Merkuri Di Dalam Air Sungai

Merkuri adalah sejenis logam berat yang telah disenaraikan sebagai sepuluh kumpulan utama yang membimbangkan pihak kesihatan awam oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Pendedahan yang berterusan kepada merkuri boleh menyebabkan penyakit yang serius terutama kepada perkembangan kanak-kanak pada peringkat awal serta memberi keburukan kepada alam sekitar melalui pembuangan bahan buangan yang tidak dirawat dari kilang loji industri.

Sehubungan itu, bagi mengatasi masalah tersebut, Dr. Amir Syahir Bin Amir Hamzah dari Jabatan Biokimia, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul, UPM telah menghasilkan satu inovasi yang boleh memberikan kepantasan dan kecekapan bagi mengesan kehadiran ion merkuri di dalam sumber air iaitu Mercury Smart Color Detector.

Menurut Dr. Amir, inovasi ini dibangunkan untuk memastikan pemantauan ion merkuri (II) dalam sumber air tanpa perlu membawa sampel air ke makmal. Oleh itu, inovasi ini dapat membantu pegawai alam sekitar dan pegawai kerajaan yang berkaitan untuk melakukan pemantauan dan analisis ion merkuri (II).

”Kemajuan industri yang pesat telah membawa kepada peningkatan ion merkuri dalam persekitaran yang memerlukan pemantauan berterusan secara in-situ. Malangnya, kaedah semasa yang digunakan untuk menentukan kehadiran merkuri sering memerlukan peralatan mahal dan operasi canggih. Oleh yang demikian, adalah perlu untuk membangunkan kaedah yang mudah tetapi berkesan dan sensitif untuk memantau tahap merkuri di persekitaran kita. Ini boleh dilakukan melalui ujian warna ion merkuri (II) yang menggunakan nanopartikel emas yang boleh dilaksanakan di lokasi sumber air untuk menyediakan analisis ion merkuri (II) dengan pantas dan berkesan.”

Antara kelebihan inovasi Mercury Smart Color Detector berbanding teknologi lain ialah inovasi ini dapat mengesan ion merkuri dalam masa kira-kira 10 minit untuk disiapkan. Selain itu, teknik ini dilengkapi dengan ruang fabrikasi yang dipasang telefon pintar di mana ia boleh disambungkan ke aplikasi telefon pintar yang boleh bertindak sebagai pembaca penyerapan untuk membezakan warna yang dihasilkan oleh sistem.

Di samping itu, kelebihan inovasi ini juga ialah kos yang sangat efektif, cepat dan cekap dalam mengesan merkuri dan mesra pengguna. Antara sasaran pengguna bagi menggunakan inovasi ini ialah pegawai alam sekitar, pegawai kerajaan dan syarikat yang terlibat dengan pengesanan dan pemantauan bahan pencemar dalam sumber air.

Ahli kumpulan yang terlibat dalam penghasilan inovasi ini ialah Dr. Mohd Rashdan bin Saad, Dr. Asilah binti Tajudin dan Nurfatini Idayu binti Busari. Inovasi Mercury Smart Color Detector pernah memenangi beberapa anugerah antaranya menerima Pingat Emas dalam pameran e-REKA yang diadakan di UniMAP, 2018 dan Pingat Perak pada pameran International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX) 2019 di KLCC.

 

Prof. Madya Ts. Dr. Amir Syahir Bin Amir Hamzah

Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul, UPM

Emel : amirsyahir@upm.edu.my

Tel: 019-655 1729

Tarikh Input: 31/03/2020 | Kemaskini: 26/11/2020 | asrizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
SXDcVAW~