ARTIKEL DITERBITKAN MALAYSIA GAZETTE - 20/12/2021
KUALA LUMPUR Universiti Putra Malaysia (UPM) memenangi enam pingat emas, dua perak dan satu gangsa di The International Invention, Innovation & Technology Exhibition 2021 (ITEX) yang diadakan secara hibrid di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) dari 13 hingga 14 Disember 2021.
ITEX merupakan pameran rekacipta dan inovasi berprestij antarabangsa yang diadakan secara tahunan, anjuran Malaysian Invention and Design Society (MINDS) dan C.I.S yang menyediakan platform dan pasaran untuk idea dan inovasi terkini di peringkat global.
ITEX 2021 menandakan tahun ke-32 penganjurannya bertemakan penciptaan semula dan memberi tumpuan kepada isu semasa Covid-19 selaras dengan pandemik global yang dihadapi oleh masyarakat dan ekonomi setiap negara.
Tema ini mengetengahkan usaha berterusan untuk penambahbaikan dan inovasi yang lebih baik di masa hadapan.
Pada penyertaan kali ini, ITEX 2021 telah menerima lebih daripada 500 inovasi dari 15 buah negara seperti Jepun, Taiwan, Thailand dan banyak lagi.
UPM menarik perhatian perekacipta dari dalam dan luar negara, dengan mempamerkan inovasi dan teknologi terkini dalam pelbagai bidang profesional meliputi pertanian, perubatan,sains kesihatan, kejuruteraan, sains sosial dan bioteknologi.
Enam pingat emas tersebut merupakan hasil komitmen dan dedikasi yang tinggi dalam membangunkan inovasi terbaik oleh barisan penerima yang tersenarai iaitu Grafin TokTM oleh Prof. Dr. Lim Hong Ngee dari Fakulti Sains, Putra Amazing Agar oleh Prof. Dr. Syafinaz Amin Nordin dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan.
Teknik Dadu Gergasi Imbuhan oleh Prof. Dr. Vijayaletchumy Subramaniam dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Promising Crop Yields from Productive Soil oleh Prof. Dr. Osumanu Haruna Ahmed dari UPM Kampus Bintulu, GeoCoat-A Novel Fire Retardant Coating Based on Agricultural Waste oleh Ts. Dr. Mohd Salahuddin Mohd Basri dari Fakulti Kejuruteraan dan FS Feed for Life Food Replacement in Aquaculture Industry oleh Dr. Fadhil Syukri dari Fakulti Pertanian.
Date of Input: 24/12/2021 | Updated: 24/12/2021 | asrizam
Office of the Deputy Vice Chancellor (Research and Innovation)
Universiti Putra Malaysia
43400 Serdang, Selangor, Malaysia