Malaysia Sedang Bangunkan Vaksin COVID-19 - BERITA HARIAN | PUTRA SCIENCE PARK
» ARTICLE » Malaysia sedang bangunkan vaksin COVID-19 - BERITA HARIAN

Malaysia sedang bangunkan vaksin COVID-19 - BERITA HARIAN

ARTIKEL DITERBITKAN BERITA HARIAN 21/6/2021

PUTRAJAYA: Malaysia sedang membangunkan vaksin sendiri yang pertama bagi melawan pandemik COVID-19, melalui kerjasama Institut Kajian Perubatan (IMR) dengan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata vaksin jenis messenger ribonucleic acid (mRNA) terbabit dibangunkan mulai November tahun lalu dan kini pada peringkat pengklonan varian asal virus serta varian lain SARS-CoV-2.

"Kita membangunkan vaksin COVID-19 teknologi mRNA di IMR. Ketika ini, status pembangunan vaksin di IMR adalah pada peringkat pengklonan genetik sasaran merangkumi varian asal dan varian lain virus SARS-CoV-2.

"Selepas proses pengklonan selesai, kajian keberkesanan vaksin membabitkan praklinikal ke atas haiwan besar dan kecil serta kajian klinikal terhadap manusia peringkat fasa satu, dua dan tiga, perlu dilaksanakan sebelum proses pendaftaran serta pengilangan vaksin mRNA ini dijalankan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Mengulas lanjut, Dr Adham menjelaskan bahawa kajian keberkesanan itu akan dilaksanakan dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Sebelum ini, akhbar NST melaporkan Malaysia sedang membangunkan dua jenis vaksin, iaitu mRNA dan nyahaktif terhadap COVID-19, dalam usaha membantu pelaksanaan PICK serta pencapaian imuniti kelompok dengan segera.

Setakat ini, hanya ada dua pengeluar menggunakan teknologi mRNA bagi penghasilan vaksin yang sedia digunakan, iaitu Pfizer-BioNTech dan Moderna.

Date of Input: 24/12/2021 | Updated: 24/12/2021 | asrizam

MEDIA SHARING

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
SXEcUAa~