Pameran Reka Cipta Penyelidikan Dan Inovasi (PRPI) 2016 | PUTRA SCIENCE PARK
» BERITA » Pameran Reka Cipta Penyelidikan dan Inovasi (PRPI) 2016

Pameran Reka Cipta Penyelidikan dan Inovasi (PRPI) 2016

SERDANG, 16 Nov – Seramai 55 penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menggondol pingat emas daripada 206 penyertaan pada Pameran Reka Cipta Penyelidikan dan Inovasi (PRPI) yang berlangsung pada 15 dan 16 November 2016.

Seramai 70 pula memenangi pingat perak dan 52 memenangi pingat gangsa.
 
Pameran yang bertemakan “Pertanian, Inovasi, Kehidupan” itu bertujuan menyediakan platform bagi mempamerkan hasil penyelidikan dan inovasi UPM yang telah mempunyai penerbitan dan perlindungan harta intelek serta untuk membuka peluang pasaran dan jaringan kepada industri, pemberi dana dan umum.

Pameran itu juga menjadi medan saringan kepada penyelidikan di UPM sebelum layak untuk menyertai pertandingan penyelidikan di peringkat yang lebih tinggi.

Seperti tahun-tahun terdahulu, 11 kluster dipamer dan dipertandingkan iaitu pertanian dan makanan, sains gunaan dan kejuruteraan, biosistem dan bioteknologi, perniagaan, ekonomi dan gavernan, alam sekitar dan tenaga, perhutanan dan biodiversiti, kemanusiaan dan pembangunan nusa bangsa, sains halal dan pengurusan, kesihatan dan kesejahteraan hidup, sains matematik, teknologi maklumat dan komunikasi, serta sains dan teknologi bahan.

Naib Canselor Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris menyampaikan Anugerah PRPI 2016, serta Anugerah Penyelidikan Universiti bagi kategori Pusat Tanggungjawab dan kategori Penerbitan Makalah Jurnal.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Mohd Azmi Mohd Lila dan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), Prof. Dr. Mohammad Hamiruce Marhaban.

PRPI tahun ini menampilkan kelainan dengan mengadakan perkongsian pengalaman dan kejayaan oleh graduan UPM yang telah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat permulaan (start-up) di bawah program InnoHub UPM melalui forum “How we Build Business from Innovation.” Ia dihadiri oleh kira-kira 100 orang peserta yang terdiri daripada pensyarah dan pelajar.

Pada majlis penutup acara itu, diadakan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan dengan Penyertaan dalam Pembangunan Pusat Sokongan Teknologi dan Inovasi (TISC) antara Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dengan UPM.

UPM diwakili Prof. Datin Paduka Dr. Aini, manakala MyIPO oleh Timbalan Pengarah (Strategik dan Teknikal), Zulkarnain Muhammad.

Turut hadir pada majlis penutup dan penyampaian anugerah tersebut adalah ketua pentadbiran Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Shahriman Hashim serta pegawai-pegawai kanan universiti. - UPM


Majlis Penyampaian Anugerah PRPI 2016


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
SXETWAa~