Langit Putra Cemerlang Rangkul Pingat Emas Dan Dua Anugerah Khas Sempena SIIC 2023 | PUTRA SCIENCE PARK
» NEWS » Langit Putra Cemerlang Rangkul Pingat Emas Dan Dua Anugerah Khas Sempena SIIC 2023

Langit Putra Cemerlang Rangkul Pingat Emas Dan Dua Anugerah Khas Sempena SIIC 2023

Serdang, 7 Disember - Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Langit Putra Universiti Putra Malaysia (UPM) mengekalkan kecemerlangan dengan meraih Pingat Emas (Kategori Profesional), Diamond Award dan Anugerah Khas Top 5 Award (Online – Profesional) sempena STEM Invention & Innovation Competition (SIIC 2023) yang berlangsung pada 24 hingga 26 September 2023 secara hibrid.

 

Empat kategori utama telah dipertandingkan iaitu Teknokrat Cilik, Teknokrat Muda, Siswa dan Profesional.

 

Projek yang diketuai oleh Asrizam Esam dari Kumpulan KIK Langit Putra mengetengahkan inovasi mudah dan ringkas iaitu Skypatcher alat penampal poster pemegang panjang.

 

Skypatcher adalah cetusan idea berdasarkan kesukaran yang dihadapi selama ini disebabkan tiada alat bantu yang bersesuaian bagi menampal poster di reruai pameran. 

 

Lazimnya, kaedah menampal poster pada ketinggian ini memerlukan alat bantu seperti tangga bagi membantu memudahkan proses penampalan. Walau bagaimanapun, faktor saiz tangga yang panjang dan berat menyebabkan ia sukar untuk dibawa serta masalah ruang sempit di tapak pameran.Menurut Asrizam Esam, selain isu keselamatan, menampal poster mengikut ketinggian yang sama tanpa senget adalah perkara yang merenyahkan dan memerlukan masa. Terdapat juga poster yang perlu ditanggalkan semula disebabkan dipasang senget yang  boleh menjejaskan imej organisasi. 

 

“Prototaip Skypatcher dibangunkan menggunakan bahan buangan dari sisa kaki gegantung dengan kos yang rendah,  mampu mempercepatkan 70% masa penampalan dan dapat mengelakkan risiko terjatuh sepenuhnya. Alat ini ringan, mudah digunakan dan mampu dikendalikan oleh seorang pempamer berbanding 2 hingga 3 orang  menggunakan kaedah lama,” tambah beliau.

 

Alat yang telah mendapat perlindungan hak cipta ini turut memenangi tempat pertama dalam pertandingan KIK UPM 2022 yang telah dibangunkan bersama ahli kumpulan yang lain iaitu Mohammad Hisham Omar, Wan Mohd Hafiz Wan Baharuddin, Muhammad Izzat Nor Adzmi, Nor Azizah Ismail, Wan Nuryani Wan Mohamed Rosly dan Shahriman Hashim selaku Fasilitator daripada Putra Science Park dan Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi ) Universiti Putra Malaysia.

 

STEM Invention & Innovation Competition (SIIC 2023) merupakan program anjuran Digit 360 Sdn Bhd iaitu syarikat pemula Universiti Teknologi Mara (UITM) dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Teknik Terengganu dan Alumni Sekolah Menengah Teknik Terengganu. Objektif program ini diadakan adalah untuk mengembangkan bakat pelajar dan pendidik dalam bidang STEM di samping memupuk bakat pelajar dalam bidang penyelidikan dan Pembangunan inovasi STEM.

 

Date of Input: 11/12/2023 | Updated: 12/12/2023 | asrizam

MEDIA SHARING

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
SXFCNAf~