UPM Putra Pro-Cut Won SIIF Korea 2023 Gold And Thailand Special Award | PUTRA SCIENCE PARK
» NEWS » UPM Putra Pro-Cut Won SIIF Korea 2023 Gold and Thailand Special Award

UPM Putra Pro-Cut Won SIIF Korea 2023 Gold and Thailand Special Award

 

  

Oleh Md Rozaidi Md Yusof

SERDANG, 8 Nov – Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui pasukan inovasi daripada Pusat Pertanian Putra (PPP), telah meraih kejayaan berganda menerusi Seoul International Innovention Fair (SIIF) 2023 di Dewan Persidangan COEX, Seoul, Korea Selatan, baru-baru ini.

Pasukan inovasi PPP UPM yang diketuai oleh Md Rozaidi Md Yusof, Pegawai Pertanian kanan, Pusat Pertanian Putra ini telah berjaya memenangi Pingat Emas bagi produk inovasi “Putra Pro-Cut dan Putra Fast-Snap: Revolusi dalam teknik pembiakan tanaman secara Markot”, iaitu alatan inovatif yang memudahkan proses pembiakan tanaman, mengurangkan pembaziran masa, meningkatkan produktiviti, dan dapat mengelakkan sebarang kecederaan.

Keseluruhan 484 inovasi telah menyertai SIIF 2023 kali ini melibatkan penyertaan daripada 26 negara termasuk Malaysia yang telah menghantar 30 inovasi daripada UPM, UTM, UCTATI, MSU, MINT, IMR, termasuk penyelidik muda daripada sekolah menengah di Malaysia.

Pasukan inovasi UPM ini turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila berjaya meraih Anugerah Khas dari negara Thailand bagi Rekacipta dan Inovasi Terbaik Antarabangsa.

Kejayaan ini membuktikan UPM mempunyai potensi yang besar untuk menghasilkan inovasi berkualiti tinggi yang sedia untuk dikomersialkan, sekali gus dapat meningkatkan produktiviti pertanian dan menyumbang kepada keterjaminan makanan negara.

Menurut Rozaidi,  inovasi ini menawarkan penyelesaian kepada kelemahan pembiakan markot secara tradisional yang menggunakan pisau. Dengan menggunakan peralatan ini, aktiviti pembiakan tanaman yang dilakukan menjadi lebih efektif, menjimatkan masa, meningkatkan kecekapan dan produktiviti kerja, serta masalah kecederaan dapat dielakkan, terutamanya kepada orang yang kurang mahir dalam pembiakan tanaman secara markot.

 

Inovasi ini dihasilkan bagi memudahkan proses pembiakan markot memandangkan ia adalah kaedah pembiakan tanaman yang popular dan mampu menghasilkan tanaman yang berbuah dengan cepat.

Putra Pro-Cut berfungsi sebagai pemotong bagi menghasilkan dua kelaran secara serentak, manakala, Putra Fast-Snap berfungsi sebagai pemegang media pertumbuhan akar bagi menggantikan penggunaan plastik pembungkus dan tali.

Putra Fast-Snap ini boleh digunakan berulang kali berbanding penggunaan plastik pembungkus dan tali yang perlu dibuang selepas digunakan. Ini dapat menjimatkan kos pengeluaran sekaligus dapat memelihara alam sekitar.

Inovasi Putra Pro-Cut ini didatangkan dengan aplikasi penanaman yang lengkap terdiri daripada mata pisau untuk membuat kelaran, pengupas, dan pemotong sekaligus mampu menghasilkan kelaran yang seragam dan kemas.

 

Date of Input: 14/11/2023 | Updated: 23/11/2023 | asrizam

MEDIA SHARING

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
SXFCVAY~