UPM Wujudkan Sistem Pengurusan Risiko | PUTRA SCIENCE PARK
» NEWS » UPM wujudkan Sistem Pengurusan Risiko

UPM wujudkan Sistem Pengurusan Risiko

Oleh: Prof. Dr. Azmawani Abd Rahman

 

SERDANG - Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan pekerja adalah tanggungjawab utama setiap majikan. Tanggungjawab ini adalah merupakan kehendak perundangan yang wajib dipatuhi di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKTA 514).  Dalam kontek ini, Universiti Putra Malaysia (UPM) sentiasa memberi keutamaan kepada Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan warga kampus dan mempunyai tadbir urus yang sentiasa peka terhadap isu kecemasan atau bencana yang berlaku.  Pendekatan pengurusan risiko secara sistematik telah menjadi amalan penting di UPM dalam membantu negara memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Selaras dengan perkembangan teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), UPM telah membangunkan satu aplikasi pengurusan risiko baharu berasaskan laman sesawang yang dinamakan Sistem Pengurusan Risiko ERTCOVID-19 UPM (PutraRISK - ERTCOVID19).  Aplikasi ini adalah untuk kegunaan semua staf dan pelajar UPM termasuk di UPM kampus Bintulu.  Melalui aplikasi ini, tahap risiko warga UPM terhadap wabak COVID-19 dipantau dari masa kesemasa.  Inisiatif ini adalah hasil usahasama Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Pusat Kesihatan Universiti (PKU), Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (JKK, FPSK) dan Hospital Pengajar UPM (HPUPM) dengan kerjasama Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (IDEC UPM)

Sistem PutraRISK- ERTCOVID19 mengambil maklumat berkaitan tanda dan gejala COVID-19 seperti mengalami kesukaran bernafas, batuk, sakit tekak dan demam.  Sistem PutraRISK - ERTCOVID19 sentiasa dikemaskini dan memantau risiko semasa staf dan pelajar berdasarkan kluster baharu yang di wartakan oleh kerajaan. Setelah mengisi sistem PutraRISK-ERTCOVID19, staf dan pelajar akan terus dapat melihat keputusan tahap risiko masing-masing.  Ada tiga tahap risiko yang dikenalpasti iaitu Risiko Tinggi (Merah), Risiko Sederhana (Kuning), dan Risiko Rendah (Hijau).  Setiap tahap risiko mempunyai tindakan kawalan yang khusus.  Setiap warga UPM bertanggungjawab di dalam melakukan tindakan kawalan berdasarkan kepada tahap risko masing-masing. 

Analisis risiko diperingkat universiti diketuai oleh Pengarah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Prof. Madya Dr. Mohd Rafee Baharudin,  Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komuniksasi (CoSComm), Profesor Dr. Azmawani Abd Rahman yang bertindak sebagai pegawai perhubungan kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi, pasukan media dan bertanggungjawab untuk hebahan berkaitan risiko kepada seluruh warga kampus. Pembentangan laporan pengurusan risiko COVID-19 dilakukan secara harian di mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Kecemasan atau lebih dikenali sebagai ERT UPM yang dipengerusikan oleh Naib Canselor, Professor Datin Paduka Setia Dato’ Dr. Aini Ideris yang bertindak selaku Komandan Insiden. Hasil analisis akan menunjukkan tahap risiko yang dihadapi oleh setiap warga kampus dan ianya dapat membantu universiti membuat strategi mitigasi yang berkaitan.

Jawatankuasa ERT UPM sentiasa berusaha untuk memastikan tahap risiko warga kampus adalah pada tahap yang rendah.  Pengekalan tahap risiko yang rendah adalah sangat penting supaya aktiviti universiti akan dapat diteruskan dalam keadaan yang bersifat normal baharu. Pengurusan risiko yang terancang dan tersusun dari awal memudahkan tindakan segera dan berkesan diambil secara menyeluruh di kampus universiti bagi menangani wabak COVID-19. - U

Date of Input: 05/05/2020 | Updated: 19/05/2020 | asrizam

MEDIA SHARING

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
C1590955895