EthoshuntTM - Aplikasi Telefon Pintar Lengkapi Kaedah Pembelajaran Konvensional | PUTRA SCIENCE PARK
» ARTICLE » EthoshuntTM - Aplikasi telefon pintar lengkapi kaedah pembelajaran konvensional

EthoshuntTM - Aplikasi telefon pintar lengkapi kaedah pembelajaran konvensional

Laporan komunikasi dan multimedia mencatatkan peningkatan peratusan penembusan internet yang tinggi sekaligus membayangkan kebanyakan rakyat Malaysia mempunyai akses termasuk golongan B40, manakala kategori umur 20-24 tahun pula dilaporkan sebagai golongan pengguna internet tertinggi.

Atas faktor tersebut, sekumpulan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang diterajui oleh Dr. Noor Syamilah Zakaria dari Fakulti Pengajian Pendidikan mengambil inisiatif memperkenalkan teknologi melalui aplikasi mudah alih berasaskan gamifikasi yang berfungsi sebagai instrumen pengajaran dalam bidang pendidikan bagi menjadikannya lebih menyeronokkan dikenali sebagai EthoshuntTM.

“Majoriti kursus asas di dalam bidang pendidikan sentiasa dianggap sebagai kursus yang kurang menarik minat pelajar kerana ia merangkumi topik yang luas dan kompleks. Tambahan pula, sistem pendidikan masa kini juga menuntut perubahan holistik merentas masa sejajar dengan perkembangan kognitif dan keperluan pembelajaran generasi muda.”

EthoshuntTM berorientasikan konsep pencarian harta karun secara tradisional bagi memangkin suasana pengajaran dan pembelajaran alternatif melalui gabungan elemen dinamika serta mekanik permainan, mata dan petunjuk bagi mencetuskan suasana pembelajaran yang lebih menyeronokkan dengan hanya menggunakan telefon pintar.

“Dengan adanya aplikasi mudah alih berasaskan gamifikasi ini, ia saling melengkapi kaedah pengajaran dan pembelajaran secara konvensional seperti literatur dan buku teks, penggunaan dialog di dalam kelas dan akan membuatkan sesi pembelajaran lebih menyeronokkan melalui aktiviti berasaskan pengalaman,” tambah beliau lagi.

Aplikasi ini berfungsi dengan cara pengajar menghantar petunjuk relevan dengan kandungan sesuatu kursus di mana pelajar akan menerima melalui satu notifikasi android. Seterusnya mereka perlu mencari maklumat tersembunyi berkenaan kursus tersebut di dunia maya atau pun secara realiti serta dihantar kepada pengajar untuk penilaian dan setiap maklumat tepat diperoleh akan diberikan mata.

Tambah beliau lagi, pelajar yang didedahkan kepada EthoshuntTM dapat mengambil bahagian dalam proses pengajaran dan pembelajaran secara efektif serta mampu mengembangkan kefahaman, kompetensi dan membuat refleksi tentang apa yang telah dipelajari selain penggunaan masa dan tenaga yang minimal berbanding kaedah pembelajaran konvensional.

Selain daripada Dr. Syamilah, teknologi ini turut dihasilkan bersama Prof. Dr. M. Iqbal Saripan, Prof. Madya Dr. Alyani Ismail dan Cik Neerushah Subarimaniam serta dibangunkan sepenuhnya di UPM.

 

Teknologi yang dibangunkan bermula pada tahun 2016 dan siap sepenuhnya pada 2018 ini bersedia untuk dikomersialkan mensasarkan pendidik atau pelajar dalam industri dan bidang pendidikan. – UPM

Date of Input: 19/05/2020 | Updated: 19/05/2020 | asrizam

MEDIA SHARING

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
C1601126788