Di seluruh dunia hari ini, diesel masih menjadi nadi utama kepada pengangkutan, industri dan logistik. Namun di sebalik kebergantungan ini, muncul krisis yang semakin ketara iaitu harga diesel yang tidak stabil, pencemaran udara di bandar bandar besar, serta pelepasan karbon yang menyumbang kepada pemanasan global. Asap dari kenderaan dan kilang bukan sahaja menjejaskan kesihatan manusia, malah mempercepatkan perubahan iklim yang kini dirasai melalui cuaca ekstrem, banjir besar dan kemarau berpanjangan. Dunia sedang mencari jalan keluar dan keperluan kepada bahan api alternatif yang lebih bersih bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan mendesak.
Di sinilah Universiti Putra Malaysia UPM memperkenalkan satu inovasi yang sangat berpotensi mengubah landskap tenaga masa depan iaitu biokatalis enzim lipase LUCA berprestasi tinggi yang turut dipertingkat melalui imobilisasi untuk penghasilan biodiesel. Teknologi ini diketuai oleh Prof. Dr. Mohd Shukuri bin Mohamad Ali, Profesor daripada Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul UPM, yang menukar sisa minyak masak terpakai bahkan minyak sawit mentah dan baharu kepada bahan api bernilai tinggi melalui proses yang lebih cekap, stabil dan mesra alam. Menariknya, enzim lipace LUCA ini mampu berfungsi dalam pelbagai keadaan ekstrem, tahan suhu sehingga 100 darjah Celsius serta boleh digunakan semula berulang kali tanpa kehilangan prestasi yang ketara. Ini bermakna penghasilan biodiesel bukan sahaja lebih cepat tetapi juga jauh lebih menjimatkan kos berbanding kaedah konvensional.
Lebih penting lagi, inovasi ini memberi impak besar kepada dunia sebenar bukan sekadar di makmal. Sisa minyak masak yang biasanya menjadi masalah pencemaran kini boleh dihidupkan semula sebagai sumber tenaga bersih melalui konsep ekonomi kitaran. Pada masa yang sama, ia membantu mengurangkan kebergantungan kepada diesel fosil yang mencemarkan alam sekitar sekali gus menyokong agenda global ke arah karbon rendah. Bagi Malaysia dan dunia, teknologi ini membawa harapan baharu iaitu masa depan di mana tenaga lebih bersih, kos lebih rendah dan alam sekitar lebih terpelihara.
Link: https://www.facebook.com/share/p/1CSDmDUgqa/

Date of Input: 26/05/2026 | Updated: 26/05/2026 | faizfarhan

Office of the Deputy Vice Chancellor (Research and Innovation)
Universiti Putra Malaysia
43400 Serdang, Selangor, Malaysia