Penapis Air Mudah Alih Ultra Daripada Tempurung Kelapa Sawit Bantu Rawat Air Tercemar- Majalah Sains | PUTRA SCIENCE PARK
» ARTIKEL » Penapis Air Mudah Alih Ultra Daripada Tempurung Kelapa Sawit Bantu Rawat Air Tercemar- Majalah Sains

Penapis Air Mudah Alih Ultra Daripada Tempurung Kelapa Sawit Bantu Rawat Air Tercemar- Majalah Sains

Artikel disiarkan Majalah Sains -2/7/2022

Air merupakan keperluan asasi semua hidupan di bumi terutamanya sebagai sumber minuman termasuklah kepada manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Kajian mendapati bahawa sebanyak 53% daripada air sungai di Malaysia diklasifikasikan sebagai sedikit tercemar atau tercemar dan secara tidak langsung memberi kesan kepada gangguan bekalan air dan kemerosotan kualiti air minuman.

Kaedah penjerapan yang tinggi untuk menghasilkan karbon aktif amat diperlukan bagi melakukan proses penulenan air yang tercemar untuk kegunaan harian.

Pasukan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang diketuai oleh Prof. Dato’ Dr. H’ng Paik San dari Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP) telah membangunkan inovasi AquaPod, penapis air mudah alih ultra daripada tempurung kelapa sawit bagi membekalkan air tulen untuk kegunaan harian.

AquaPod merupakan inovasi mesra alam yang dihasilkan daripada tempurung kelapa sawit. Karbon aktif berstruktur liang mikro yang dihasilkan daripada tempurung kelapa sawit telah menyumbang kepada sifat penjerapan yang sangat tinggi bagi penapis air mudah alih ultra ini dan sesuai dengan semua jenis paip.

Menurut Prof. Madya Dato’ Dr. H’ng Paik San, penggunaan karbon aktif berliang mikro yang disintesis daripada biojisim sawit dapat menyingkirkan logam berat, klorin dan mikroorganisma daripada air serta memberikan sumbangan secara langsung dan tidak langsung yang membolehkan masyarakat menikmati bekalan air paip yang jernih dan tidak berbau.

Inovasi ini dihasilkan melalui dua kaedah iaitu pengaktifan fizikal berterusan dua peringkat dan rawatan ultrasonik bagi menyingkirkan kandungan silika dalam kuantiti yang tinggi dan menghasilkan karbon aktif yang kebanyakannya terdiri daripada liang mikro.

Inovasi AquaPod dapat memberi sumbangan besar kepada Malaysia melalui pengurusan sumber yang lebih cekap dan bebas daripada sisa serta meningkatkan kualiti pengurusan sisa.

“Melalui pendekatan proses kebaharuan oleh rawatan bersepadu, tempurung kelapa sawit yang biasanya digunakan sebagai produk berkualiti rendah (arang serta baja) boleh ditukar menjadi produk berkualiti tinggi dan akhirnya menyumbang kepada ekonomi sosial,” tambah beliau lagi.

Pendekatan proses baharu melalui rawatan bersepadu didapati menghasilkan karbon teraktif gred komersial dengan luas permukaan yang tinggi dan mengandungi keseluruhan 80% permukaan mikropori yang menunjukkan penjerapan yang sangat tinggi dengan menggunakan suhu pengaktifan yang rendah.

Ciptaan harta intelek ini telah didaftarkan dibawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan projek ini menerima dana melalui Geran Kecil Alam Sekitar dan Teknologi Hijau 2021/2022 oleh Kerajaan Negeri Selangor, Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS), Pusat Kecemerlangan Institusi Tinggi (HICOE) dan Geran Pendanaan Anatarabangsa di bawah EVC Management Pty Ltd (Australia) yang menawarkan faedah bukan sahaja kepada industri pertanian tetapi juga kepada industri kelapa sawit.

Menurut Asrizam Hj. Esam, Pegawai Penyelidik Kanan, Bahagian Promosi dan Pengkomersilan Inovasi, PSP, UPM amat mengalu-alukan kolaborasi daripada rakan industri bagi membawa hasil penyelidikan ke pasaran supaya manfaatnya dapat dikongsi dengan semua pihak yang disasarkan.

 

Tarikh Input: 27/07/2022 | Kemaskini: 16/08/2022 | asrizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
WVJZGA5:06:10