Botol Produk ‘sanitasi Tangan Segera’ Untuk Barisan Depan UPM | PUTRA SCIENCE PARK
» BERITA » Botol produk ‘sanitasi tangan segera’ untuk barisan depan UPM

Botol produk ‘sanitasi tangan segera’ untuk barisan depan UPM

Oleh: Azman Zakaria

SERDANG: Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul Universiti Putra Malaysia (UPM) menghasilkan produk sanitasi tangan segera (Instant Hand Sanitiser), dan telah mengedarkan botol berkandungan 50 ml itu bagi kegunaan petugas barisan hadapan di UPM.

Ia diedarkan secara percuma termasuk kepada Hospital Pengajar UPM, Pusat Kesihatan Universiti, Bahagian Keselamatan Universiti dan 1,200 pelajar yang masih berada di dalam kampus.

Fasa pertama pembuatan produk itu menghasilkan 560 botol 50 ml dan diserahkan kepada Bilik Gerakan COVID19 Universiti (OSHA) untuk diagihkan. Fasa kedua pula menghasilkan lebih 2,000 botol 50 ml produk tersebut yang dijangka siap minggu ini. Pada fasa ini, penghasilan beberapa botol 10L isian semula akan diagihkan kepada petugas barisan depan untuk kemudahan pengisian semula, manakala pada fasa ketiga kumpulan ini akan menyediakan produk sanitasi permukaan (surface sanitiser) bagi kegunaan dan keperluan universiti.

Produk itu menepati syarat perakuan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dan dihasilkan mengikut formulasi WHO (https://www.who.int/gpsc/5may/Guide_to_Local_Production.pdf) di Makmal Virologi dan Makmal Bioteknologi Mikrob dalam dua fasa pembuatan melibatkan lebih 2,000 unit produk sanitasi berkandungan 50 ml.  

Fasa pertama penghasilan produk adalah hasil sumbangan staf fakulti, manakala fasa kedua dijalankan dengan kerjasama universiti melalui Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UPM, dan sumbangan syarikat U-Lik Sdn. Bhd. dan Lam Chem Sdn Bhd.

Dekan Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul, Prof. Dr. Arbakariya Ariff berkata, inisiatif penghasilannya adalah kerana keperluan tinggi  pihak barisan hadapan terhadap produk itu dan kesukaran mendapatkannya di pasaran.

Katanya, produk sanitasi itu mampu membunuh 99.9% kuman tanpa air. Ia mengandungi 75% alkohol tanpa paraben, pewarna, serta bahan pewangi yang boleh mengakibatkan kerengsaan pada sesetengah pengguna.

Beliau berkata ia diuji di makmal dan terbukti menghalang pertumbuhan pelbagai mikro-organisma termasuk Escherichia coli, Staphylococcus epidermidis dan Staphylococcus aureus.

Kumpulan sukarelawan pengeluaran produk itu ialah Prof. Madya Dr. Siti Sarah Othman, Prof. Madya Dr. Chia Suet Lin, Prof. Madya Dr. Mas Jaffri Masarudin, dan Mohd Radzi Mahidin. - UPM

Tarikh Input: 05/05/2020 | Kemaskini: 05/03/2021 | asrizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
SXDcUAP~