Inovasi Vaksin Beri Perlindungan Menyeluruh Virus ND GENOTIP VII VIRULEN | PUTRA SCIENCE PARK
» BERITA » Inovasi Vaksin Beri Perlindungan Menyeluruh Virus ND GENOTIP VII VIRULEN

Inovasi Vaksin Beri Perlindungan Menyeluruh Virus ND GENOTIP VII VIRULEN

SERDANG: Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan vaksin generasi baharu yang mampu memberi perlindungan menyeluruh terhadap virus sampar ayam ND genotip VII virulen, bagi mengawal penyakit sampar ayam.

Vaksin Padanan-Genotip itu dihasilkan menerusi teknologi genetik berbalik, hasil penyelidikan lebih lima tahun di bawah Program Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE), Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan.

Projek inovasi vaksin penyakit sampar ayam atau Newcastle Disease (ND) itu diketuai Prof. Dr. Abdul Rahman Omar dari Fakulti Perubatan Veterinar UPM. Dua lagi ahli kumpulan penyelidik itu ialah Prof Datin Paduka Setia Dato’ Dr Aini Ideris dan Prof. Datin Paduka Dr. Khatijah Yusoff.

Prof. Dr. Abdul Rahman berkata, hasil dapatan daripada ujian yang dijalankan oleh Institut Biosains (IBS) UPM dengan kerjasama syarikat Malaysian Vaccines and Pharmaceuticals Sdn Bhd (MVP) membuktikan vaksin itu stabil, tidak mempunyai kesan sampingan dan selamat digunakan pada anak ayam seawal usia satu hari.

“Anak ayam yang disuntik sekali dengan vaksin ini menghasilkan paras antibodi yang tinggi selepas tiga minggu, yang memberikan perlindungan yang menyeluruh daripada cabaran penyakit serta pembebasan virus ND genotip VII,” katanya.

Beliau berkata, ND yang disebabkan oleh virus sampar ayam (NDV) adalah wabak virus burung yang mudah berjangkit dan merupakan penyakit virus yang telah menyebabkan kerugian besar terhadap industri poltri di seluruh dunia.

Katanya, virus ND genotip VII virulen merupakan strain NDV yang paling banyak tersebar di Malaysia dan negara-negara lain di Asia terutamanya di Asia Tenggara dan Asia Barat sejak 10 tahun lalu.

Menurutnya, kaedah pencegahan ND di ladang komersial adalah secara ‘bio-security’ termasuk amalan perladangan yang baik dan penggunaan vaksin.

Vaksin mulakan digunakan pada 1950-an dengan menggunakan vaksin hidup dan vaksin mati, yang masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri (pros and cons). Penggunaannya adalah sama ada secara berasingan atau pun kombinasi kedua-duanya secara serentak.

Katanya, pencegahan menggunakan vaksin tidak begitu berjaya walaupun turut menggabungkan kaedah ‘bio-security’ dan amalan perladangan yang baik kerana apabila virus itu menjangkiti ayam, virus berkenaan akan disebar secara berterusan di lapangan menyebabkan kebarangkalian mengawal penyakit itu sukar.

“Apabila vaksin digunakan di lapangan, banyak faktor boleh menjejaskan keberkesanannya. Justeru, terdapat keperluan untuk membuat penambaikan pada vaksin yang ada,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, beliau bersama ahli kumpulan menjalankan penyelidikan sehingga terhasilnya Vaksin Padanan-Genotip.

Prof Dr Abdul Rahman berkata, ayam pedaging hanya memerlukan dua atau tiga dos vaksin berkenaan yang lazimnya diberi dalam bentuk minuman atau semburan, manakala ayam penelur dan ayam baka memerlukan antara enam dan lapan dos.

Katanya, perjanjian pelesenan telah ditandatangani dengan syarikat MVP pada tahun lalu dan kini dalam peringkat mendapatkan lesen penghasilan vaksin daripada Jabatan Perkhidmatan Haiwan untuk membolehkannya dipasarkan.

Menurutnya, sudah ada permintaan untuk Vaksin Padanan-Genotip itu dari beberapa negara Asia seperti Vietnam, Filipina dan Mesir. - UPM

 

Oleh: Azman Zakaria

Tarikh Input: 16/06/2020 | Kemaskini: 16/06/2020 | asrizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
C1596709009