Melestari Alam Sekitar Negara - Artikel Sinar Harian | PUTRA SCIENCE PARK
» BERITA » Melestari alam sekitar negara - Artikel Sinar Harian

Melestari alam sekitar negara - Artikel Sinar Harian

SAMBUTAN Hari Bumi diraikan pada 22 April setiap tahun sebagai usaha menghargai bumi. Alam sekitar yang sejahtera, terpelihara dan lestari menjadi idaman para pencinta alam sekitar sejagat yang mana golongan ini tanpa henti memperjuangkan betapa perlunya memelihara dan memulihara persekitaran demi kelangsungan hidup manusia dan hidupan lain di bumi ini.
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di hampir seluruh dunia bukan sahaja dapat memutuskan rantaian Covid-19 malahan mampu melindungi alam sekitar daripada dicemari secara berterusan.

Di Itali, misalnya, telah memperlihatkan kemunculan ikan lumba-lumba di laluan air disebabkan kurangnya trafik daripada bot, malahan sungai di Venice yang biasanya kelihatan keruh kini berubah menjadi jernih kerana bilangan pelancong merosot dengan drastik.


Tahap kebersihan udara di bandar raya utama di China juga meningkat. Perkara ini sangat penting kerana pencemaran udara menjadi penyebab kematian kira-kira satu juta orang setahun di China. Di Malaysia, pelaksanaan PKP turut mengubah rutin harian masyarakat dengan hanya menghabiskan masa di rumah kerana tindakan perundangan akan dikenakan terhadap mereka yang ingkar arahan PKP. Tindakan ini secara tidak langsung dapat ‘membersihkan’ alam sekitar yang telah sekian lama dicemari oleh pelbagai aktiviti manusia.

Kualiti udara yang telah tercemar semakin baik mutunya kerana pengurangan kenderaan di jalan raya, penutupan industri yang membebaskan asap selain halangan melakukan pembakaran terbuka. Malahan tiada lagi pencemaran bunyi yang ketara akibat bunyi hon kenderaan. Pemantauan Jabatan Alam Sekitar (JAS) terhadap beberapa parameter utama udara iaitu nitrogen dioksida (NO2), sulfur dioksida (SO2), karbon monoksida (CO) dan habuk halus bersaiz diameter 2.5 mikron (PM2.5) mencatatkan penurunan ketara. Analisis JAS di stesen pengawasan kualiti udara di beberapa bandar utama seperti Shah Alam, Ipoh, Pulau Pinang, Kuantan, Seremban, Melaka, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu turut mencatatkan penurunan ketara untuk setiap parameter, NO2 11 hingga 62 peratus, SO2 5 hingga 22 peratus, CO dua hingga 25 peratus dan PM2.5 dua hingga 23 peratus. Dinoda



Pencemaran bunyi dan debu akibat bilangan kenderaan yang tinggi di jalan raya dan operasi industri juga menurun dengan ketara. Begitu juga dengan sebahagian besar sungai di negara ini yang mana kualiti air sungai semakin meningkat akibat pemberhentian operasi sementara kebanyakan aktiviti industri dalam kategori perkhidmatan bukan perlu dan kerja tanah projek pembangunan.

Namun, di satu sudut lain ternyata alam sekitar masih terus dinoda dengan rakus! Pada musim PKP berlangsung, pengguna di sebahagian daerah di Selangor dikejutkan dengan situasi pencemaran bau yang memberi kesan gangguan bekalan air akibat pelepasan bahan pencemar dari sekitar kawasan perindustrian di sekitar Rawang, Selangor. Sungai Meru di Perak turut dicemari sehingga menyebabkan ratusan ikan dan hidupan air mati dalam jarak 1.5 kilometer yang berpunca daripada pelepasan sisa kilang yang tidak dirawat.



Turut dilaporkan pembuangan sisa klinikal yang meliputi sarung tangan, penutup mulut dan hidung serta pakaian daripada pusat kesihatan dan klinik di negara meningkat kepada 27 peratus berbanding 17 peratus pada Februari berikutan penularan wabak ini. Ini belum lagi mengambil kira peningkatan ketara sisa isi rumah domestik selaras dengan PKP yang sudah pasti memendekkan lagi tempoh jangka hayat tapak pelupusan sampah yang memang telah kritikal!

Covid-19 membawa bersama kesedaran mengenai betapa pentingnya mengamalkan kebersihan termasuklah kebersihan alam sekitar. Kita perlu mempertingkatkan kesedaran mengenai alam sekitar dengan lebih jelas khususnya lebih menghargai dan menyayangi alam sekitar.


Artikel oleh
Dr Haliza Abdul Rahman ialah Pensyarah Kanan Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia

Petikan artikel dari akhbar Sinar Harian.

Sumber : https://www.sinarharian.com.my/article/80519/KHAS/Pendapat/Melestari-alam-sekitar-negara

Tarikh Input: 16/06/2020 | Kemaskini: 26/11/2020 | asrizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
SXETKAW~