Penyair UPM Sertai Temu Penyair Asia Tenggara 2 Padang Panjang | PUTRA SCIENCE PARK
» BERITA » Penyair UPM Sertai Temu Penyair Asia Tenggara 2 Padang Panjang

Penyair UPM Sertai Temu Penyair Asia Tenggara 2 Padang Panjang

   

PADANG PANJANG -  Penyair UPM terpilih untuk menyertai Temu Penyair Asia Tenggara (TPAT) II di Padang Panjang, Indonesia yang menghimpunkan 100 penyair terpilih daripada 7 negara iaitu Indonesia, Malaysia, Timor-Leste, Brunei, Thailand, Vietnam dan Singapura yang telah diadakan bermula pada 30 November hingga 3 Disember 2022 yang lalu.

Lima penyair Malaysia terpilih menyertai program Temu Penyair Asia Tenggara II kali ini ialah Djaslam Zainal (Melaka), Rosmiaty Shaari (Melaka), Prof. Madya Dr Haryati Ab Rahman (Universiti Malaya, Kuala Lumpur), dan Asrizam Esam (Universiti Putra Malaysia, Selangor), manakala Datin Barupawati (Kuala Lumpur) tidak dapat menghadiri program pada kali ini. Kesemua 100 puisi penyair terpilih ini telah dibukukan di dalam Antologi Kabut, Hujan dan Segala Yang Dikenang dan telah dirasmikan oleh Wali Kota Padang Panjang, Hj Fadly Amran selain setiap petikan puisi penyair di pamerkan disepanjang jalan di desa Kubu Gadang.

Penyair dari Melaka, Djaslam Zainal telah diberi penghormatan selaku wakil penyair Malaysia yang mendeklamasikan sajak di Majlis Pembukaan TPAT dan turut menjadi pembentang di dalam Sesi Dialog Sastera : Perkembangan Sastera Asia Tenggara. Turut sama berkongsi pengalaman mengenai isu sastera dan budaya di sekitar Asia Tenggara ialah Nik Mansoor Nik Halim (Vietnam), Zefri Ariff (Brunei Darussalam),  Abe Barreto Soares (Timor-Leste), Raudal Tanjung Banua (Indonesia) dan Prof Madya Dr Phaosan Jaehwe (Thailand).

Wali Kota, Padang Panjang, Hj Fadly Amran, turut melahirkan ucapan terima kasih kepada penyair Asia Tenggara termasuk penyair Malaysia yang dapat hadir ke Indonesia menghadiri TPAT II yang mana Padang Panjang turut meraikan Hari Jadi Kota ke-232.

TPAT II dianjurkan oleh Dinas Perpustakaan dan Kearsipan Kota Padang Panjang dan menurut Ketua Panitia TPAT II, Ubai Dillah Al Anshori, penganjuran program Temu Penyair Asia Tenggara II di Padang Panjang merupakan kali kedua penganjurannya dan sidang redaksi telah memilih 100 puisi  penyair terbaik daripada 500 penyertaan yang diterima. Penyair dipilih berdasarkan puisi terbaik yang dihasilkan berdasarkan tema “Tokoh dan Sejarah Padang Panjang”.

Penganjuran TPAT kali pertama pada tahun 2018 telah menghimpunkan 300 orang penyair di Asia Tenggara, manakala TPAT ke-2 tahun 2022 pula, sarat dipenuhi dengan pelbagai aktiviti deklamasi puisi dikalangan penyair, dialog sastera, perkongsian isu sastera antara negara, persembahan kebudayaan, randai, perkongsian puisi di sekolah menengah dan perkongsian budaya Minangkabau seperti makan bajamba, tarian piring dan silek lanyah.

  

Semua penyair ditempatkan di rumah penduduk desa wisata Kubu Gadang, Padang Panjang yang juga merupakan salah satu desa wisata terbaik di Sumatra Barat yang dianugerahkan pada tahun 2020.

Menurut Asrizam Esam yang bertugas selaku Pegawai Penyelidik di Putra Science Park  Universiti Putra Malaysia, penyertaan kali pertama ini membawa pelbagai pengalaman menarik dan berharga apabila dapat bertemu ramai penyair tersohor di Indonesia dan Asia Tenggara.

“Puisi Hikayat Padang Panjang berdasarkan novel Buya Hamka, Tenggelamnya Kapal Van der Wijck telah membawa saya ke sini dan keindahan Padang Panjang mencetuskan pelbagai inspirasi penulisan puisi yang amat mengagumkan di samping keramahan warga Kubu Gadang”.

Ternyata pengaruh kesusteraan daripada Buya Hamka amat kuat sehingga kini dan mampu menarik ramai pelancong terutamanya dari Malaysia untuk melihat jejak budaya sastera Buya Hamka.

“Penganjuran TPAT II kali ini telah membawa puisi dan kebudayaan menjadi medium sastera yang berjaya menyatupadukan keharmonian dan ukhwah dikalangan para penyair di Nusantara”.

Prof. Madya Dr Haryati Ab Rahman, penyair daripada Universiti Malaya yang juga pernah menyertai Temu Penyair Asia Tenggara I tahun (TPAT) 2018 masih teruja menyertai temu penyair kali ke-dua ini di sebabkan keindahan pemandangan Kota Padang Panjang yang dingin dan masyarakatnya yang ramah.

 

Selain itu, Asrizam dan Rosmiaty turut berpeluang untuk berkongsi pengalaman mengenai kesusasteraan dan puisi di Malaysia di stesen radio pendidikan Radio Edukasi di SMP Negeri 4 Padang Panjang. Dapat dilihat aktiviti kebudayaan seperti seni tari, muzik tradisional dan puisi telah menjadi budaya bagi anak di Indonesia sehinggakan mereka berjaya membuat persembahan yang mengagumkan di semua 10 sekolah yang terlibat.

 

Menurut panitia TPAT II, Rizka Hidayatul Husna, TPAT bukan hanya sekadar tempat menghimpunkan penyair ke kota Padang Panjang, tetapi yang lebih penting adalah pertemuan yang membentuk ikatan hubungan silaturahim di Asia Tenggara, sehingga semua yang terlibat dalam acara ini akan terus mengenang Padang Panjang dan segala pengisian kebudayaan dan sastera di dalamnya.

Tarikh Input: 13/12/2022 | Kemaskini: 13/12/2022 | asrizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
SXETXAh~