Rumah Melayu Jerantut, Pahang Penghulu Mukim Kelola Dipindahkan Ke UPM | PUTRA SCIENCE PARK
» BERITA » Rumah Melayu Jerantut, Pahang Penghulu Mukim Kelola dipindahkan ke UPM

Rumah Melayu Jerantut, Pahang Penghulu Mukim Kelola dipindahkan ke UPM

Oleh Noor Eszereen Juferi
Foto oleh Marina Ismail

JERANTUT, 4 Feb – Muzium Warisan Melayu, Universiti Putra Malaysia (UPM) memindahkan Rumah Melayu Penghulu Mukim Kelola, Jerantut, Pahang yang berusia 91 tahun bagi melengkapkan koleksi muzium tersebut.

Pengarah Muzium Warisan Melayu, Dr. Muhammad Pauzi Abd Latif berkata rumah yang pernah dihuni oleh Penghulu Mukim Kelola, Haji Ismail Haji Khatib Bakar itu disifatkan sebagai sebuah rumah Melayu lama yang istimewa kerana keunikan pembinaan seni binanya.

“Selama saya terlibat dengan pencarian rumah lama, inilah satu-satunya rumah yang mempunyai balai serta ketahanan struktur kayunya masih utuh walaupun dilanda banjir besar di Pahang pada tahun 1926, 1971 dan 2014,” katanya.

 

Tambah beliau, waris rumah itu, Zaharah Ismail yang juga anak bongsu Penghulu Kelola bersetuju untuk menyerahkan rumah itu kepada UPM untuk pemuliharaan dan pengajaran kepada pengunjung Muzium Warisan Melayu.

“Waris juga menyerahkan perahu jalur berukuran 30 kaki iaitu sampan terpanjang yang dihasilkan daripada sebatang balak yang ditebuk serta pendayung berukuran sembilan kaki,”  katanya di sini.

Sementara itu, penghulu Mukim Kelola turut mempunyai pertalian darah dengan Tok Pahlawan Gendut iaitu pahlawan yang menentang Inggeris di Tanah Melayu pada zaman penjajahan Inggeris.

Dr. Muhamad Pauzi yakin rumah tersebut akan dijadikan tempat rujukan pengkaji-pengkaji seni bina rumah melayu dan untuk tatapan generasi akan datang yang tidak mengenali rumah Melayu tradisional.

 

Sebelum itu, Muzium Warisan Melayu UPM telah mendirikan tiga buah rumah tradisional Melayu iaitu Rumah dari Negeri Sembilan iaitu rumah Dato’ Raja Diwangsa; rumah yang kedua dari negeri Perak iaitu Rumah Kutai dan rumah ketiga, Rumah Bujang Selasar dari negeri Terengganu. - UPM

 


Rumah Melayu Jerantut Pahang


Tarikh Input: | Kemaskini: | salehaharon

PERKONGSIAN MEDIA

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
SXDdFAM~