Serdang, 22 April – Sempena sambutan Hari Bumi Sedunia, Putra Science Park (PSP) UPM telah menganjurkan program PSP Earth Day 2025 bertempat di Taman Puspa, PSP-UPM. Program yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kelestarian Hijau PSP ini berlangsung dari jam 2.30 petang hingga 4.30 petang dengan pengisian aktiviti bertemakan kelestarian alam sekitar.

Program dimulakan dengan ucapan aluan secara dalam talian oleh Pengerusi Jawatankuasa Kelestarian Hijau PSP, Inv. Asrizam Esam, diikuti dengan Webinar Kesedaran Kepentingan Kelestarian Hijau di Malaysia yang memberi pendedahan tentang peranan semua pihak dalam menjaga keseimbangan ekosistem dan alam sekitar demi kelangsungan generasi masa hadapan.

Acara diteruskan dengan aktiviti simbolik menanam pokok bunga di Taman Puspa sebagai usaha kecil yang membawa impak besar dalam memelihara kehijauan kampus. Program diakhiri dengan sesi bergambar bersama peserta, merakamkan momen kolaborasi warga PSP dalam menyokong usaha kelestarian bumi.

Program ini merupakan komitmen berterusan Putra Science Park dalam menyokong agenda kelestarian sejagat dan matlamat Sustainable Development Goals (SDG 13: Climate Action & SDG 15: Life on Land), di samping memupuk kesedaran warga kerja mengenai kepentingan memelihara alam sekitar.

Updated:: 22/04/2025 [faizfarhan]

Office of the Deputy Vice Chancellor (Research and Innovation)
Universiti Putra Malaysia
43400 Serdang, Selangor, Malaysia