11 September 2025 - Delegasi dari Jabatan Audit Negara telah mengadakan sesi lawatan rasmi ke Learning Center Lipidware Sdn. Bhd., sebuah syarikat pemula InnoHub UPM yang diasaskan daripada inovasi penyelidik UPM, Prof. Dr. Lai Ooi Ming. REMDII dikenali melalui produk inovatif berasaskan bioteknologi yang memberi impak besar kepada kesihatan dan kesejahteraan pengguna. Lawatan ini memberi peluang kepada delegasi untuk memahami dengan lebih dekat kejayaan pemindahan teknologi universiti ke pasaran melalui program InnoHub.
Delegasi turut dibawa melawat ke Galeri Penyelidikan dan Inovasi UPM yang berpusat di Putra Science Park (PSP). Di sini, Prof. Dr. Samsilah Roslan, Pengarah Putra Science Park, telah memberikan penerangan mengenai pelbagai hasil penyelidikan berimpak tinggi dalam bidang pertanian, sains makanan, bioteknologi, teknologi maklumat, serta kejuruteraan. Pameran tersebut memperlihatkan peranan aktif universiti dalam memacu agenda inovasi negara menerusi penjanaan harta intelek, pembangunan prototaip, serta kolaborasi strategik bersama industri.
Lawatan ini diadakan bersempena dengan pelaksanaan Pengauditan Program Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (R&D&C&I), sekali gus membuka ruang kepada perkongsian maklumat serta pengukuhan tadbir urus. Delegasi Jabatan Audit Negara menzahirkan penghargaan atas kerjasama UPM melalui Putra Science Park dan menekankan kepentingan memastikan keberkesanan pelaburan dalam R&D&C&I bagi menjana nilai tambah ekonomi dan sosial kepada negara.
Date of Input: 11/09/2025 |
Updated: 11/09/2025 | faizfarhan
MEDIA SHARING