Pada 21 Januari 2025 (Selasa), InnoHub Talk Session #1 | 2025 telah berlangsung dengan tajuk "Mastering Directors' Powers and Duties: Legal Framework, Case Law, and Practical Applications". Sesi ini telah diadakan secara hibrid (fizikal dan dalam talian) serta dipengerusikan oleh Prof. Madya Siti Rahayu Hussin, Penyelaras InnoHub, Putra Science Park, UPM.
Sesi perkongsian ilmu ini disampaikan oleh Dr. Hanna Ambaras, Pensyarah Kanan dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, UPM. Taklimat ini bertujuan memberi pemahaman mendalam mengenai tanggungjawab pengarah dalam syarikat Sendirian Berhad (Sdn Bhd), termasuk aspek kerangka undang-undang, kes-kes berkaitan, serta aplikasi praktikal dalam tadbir urus korporat.
Topik yang dibincangkan merangkumi peranan serta tanggungjawab pengarah mengikut peruntukan undang-undang, kepentingan pematuhan terhadap Akta Syarikat 2016, serta kajian kes sebenar yang membolehkan peserta memahami cabaran dan penyelesaian dalam pengurusan syarikat. Selain itu, sesi ini turut memberi penekanan kepada aspek akauntabiliti, integriti, dan tadbir urus terbaik dalam organisasi.
Seramai 16 peserta telah menyertai sesi ini secara dalam talian, manakala 14 peserta menghadiri secara fizikal, terdiri daripada InnoHubbers dan kakitangan UPM. Interaksi aktif antara penceramah dan peserta membolehkan sesi berlangsung dengan lebih dinamik, di mana pelbagai soalan dan perbincangan menarik telah dikemukakan.
Putra Science Park merakamkan penghargaan kepada Dr. Hanna Ambaras atas perkongsian ilmu yang sangat bermanfaat serta kepada semua peserta yang telah menghadiri sesi ini. Diharapkan program seperti ini dapat terus memperkasakan pemahaman mengenai tadbir urus korporat dalam kalangan penyelidik dan usahawan di UPM.
Date of Input: 21/01/2025 | Updated: 21/01/2025 | faizfarhan

Office of the Deputy Vice Chancellor (Research and Innovation)
Universiti Putra Malaysia
43400 Serdang, Selangor, Malaysia