Inovasi Produk Tablet Mudah Kunyah Moringa, MorinGO Menang Anugerah Pingat Emas Dan Anugerah Khas Di Seoul International Invention Fair 2024 Bagi Kajian Potensi Mengawal Dan Melambatkan Penyakit Neurodegenerasi Seperti Alzheimer | PUTRA SCIENCE PARK
» NEWS » Inovasi Produk Tablet Mudah Kunyah Moringa, morinGO Menang Anugerah Pingat Emas dan Anugerah Khas di Seoul International Invention Fair 2024 bagi Kajian Potensi Mengawal dan Melambatkan Penyakit Neurodegenerasi seperti Alzheimer

Inovasi Produk Tablet Mudah Kunyah Moringa, morinGO Menang Anugerah Pingat Emas dan Anugerah Khas di Seoul International Invention Fair 2024 bagi Kajian Potensi Mengawal dan Melambatkan Penyakit Neurodegenerasi seperti Alzheimer

SELANGOR, 2 Disember 2024 – Inovasi produk tablet mudah kunyah moringa, morinGOTM dari Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mencatatkan kejayaan dengan memenangi Anugerah Pingat Emas dan Anugerah Khas Negara Luar (Saudi Arabia) di Seoul International Invention Fair (SIIF) 2024. Kejayaan ini adalah hasil inovasi produk tablet mudah kunyah moringa, morinGOTM yang telah dikaji secara in-vitro keatas enzim neurodegenerasi dengan kolaborasi penyelidik dari Institute for Medical Research Malaysia (IMR) melalui Ketua Projek, Dr. Aswir Abd. Rashed dan En. Mohammad Adi Mohammad Fadzil dengan kerjasama penyelidik dari UPM, Prof. Ir. Dr. Yus Aniza Yusof dan syarikat pemula dibawah bimbingan InnoHub UPM, Putra Science Park iaitu NutraMagis Sdn. Bhd.

Prof. Ir. Dr. Yus Aniza Yusof merupakan pensyarah dari Jabatan Kejuruteraan Proses dan Makanan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan merupakan Timbalan Pengarah, Institut Penyelidikan Produk Halal UPM berkata ini merupakan dapatan awal kajian kerjasama dengan pihak IMR.  Menurut Ketua Projek, Dr. Aswir Abd. Rashed yang juga merupakan Ketua Unit Pemakanan di IMR, perbandingan kesan aktiviti enzim asetilkolinesterase (AChE) keatas tablet mudah kunyah moringa,  morinGOTM dengan ubat yang biasa diberikan keatas pesakit Alzheimer seperti Donepezil 0.2 mM dan didapati pengambilan 6 tablet morinGOTM memberikan kesan perencatan hampir 60% menyamai kekuatan Donepezil 0.2 mM ke atas enzim AChE.

Pertandingan yang berlangsung dari 27 hingga 30 November 2024 di Seoul, Korea Selatan, dianjurkan oleh Korea Invention Promotion Association (KIPA) dengan kerjasama Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO) dan Persekutuan Persatuan Pencipta Antarabangsa (IFIA). SIIF merupakan salah satu platform terbesar di dunia bagi pencipta dan penyelidik dari seluruh dunia untuk mempamerkan idea dan produk inovatif mereka kepada pengilang, pelabur, pengedar, firma pelesenan, dan orang awam. Tahun ini, pertandingan tersebut menyaksikan penyertaan 519 produk rekacipta dari 32 negara.

Malaysia juga turut memperoleh pencapaian cemerlang dalam pertandingan ini, membawa pulang satu hadiah utama (Grand Prize), tujuh Pingat Emas, sembilan Pingat Perak, dan lima Pingat Gangsa. Selain itu, Malaysia turut menerima beberapa anugerah khas dari negara-negara seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Thailand, Vietnam, Indonesia, Singapura, China, dan Korea Selatan.

Penyertaan Malaysia kali ini melibatkan pelbagai institusi terkemuka, termasuk Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF), Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Agensi Nuklear Malaysia, MARDI, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Kolej Selatan (SUC), dan CRAUN Research Sdn. Bhd. Sebanyak 27 inovasi Malaysia dipertandingkan dalam acara berprestij ini telah dikoordinasikan oleh persatuan Malaysian Association of Research Scientist (MARS).

Produk morinGOTM sebelum ini telah mendapat pengkelasan sebagai produk makanan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan boleh didapati di PutraMart, Universiti Putra Malaysa, Kedai Koperasi Fakulti Kejuruteraan UPM, farmasi di sekitar Bandar Baru Bangi, dan juga di pautan TikTok: morinGO.

Date of Input: 05/12/2024 | Updated: 05/12/2024 | faizfarhan

MEDIA SHARING

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
W, (08:34:40pm-08:39:40pm, 11 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]