Inovasi UPM Bantu Komuniti Mendapat Pengiktirafan LOTHI MOSTI 2022 | PUTRA SCIENCE PARK
» NEWS » Inovasi UPM Bantu Komuniti Mendapat Pengiktirafan LOTHI MOSTI 2022

Inovasi UPM Bantu Komuniti Mendapat Pengiktirafan LOTHI MOSTI 2022

 

Inovasi Skyridder UPM berjaya memenangi tempat ketiga bagi ketegori awam di dalam Program Low Touch High Impact (LOTHI) 2022 yang dianjurkan  Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang telah diumumkan pada bulan Disember 2022.

 

LOTHI merupakan Signature Program bersempena penganjuran Minggu Sains Negara (MSN) 2022 yang bertemakan ‘Inovasi Sosial’ dengan objektif untuk mengenalpasti inovasi yang mampu milik, berimpak tinggi, mesra pengguna dan bercirikan norma baharu yang boleh memanfaatkan seluruh masyarakat Malaysia.

 

Skyridder merupakan inovasi yang diketuai oleh Asrizam Esam, dan Kumpulan Inovatif dan Kreatif Langit Putra dari Putra Science Park, Universiti Putra Malaysia  merupakan alat pemotong dawai pemegang panjang yang dapat memotong pengikat gegantung, iklan haram atau dawai lama yang ditinggal berkarat pada tiang lampu dengan pantas dan selamat tanpa penggunaan tangga. Alat ini dapat memberikan impak kepada komuniti dan organisasi bagi menyingkirkan masalah pencemaran dawai karat dan iklan haram pada tiang lampu dengan cepat.

 

Sehingga kini masalah utama isu ini ialah kesan pencemaran dawai karat serta sepihan gegantung pengiklanan pada tiang lampu masih dapat dilihat begitu banyak dan mencemarkan pemandangan serta persekitaran di Malaysia yang memberi imej yang negatif kepada masyarakat mahupun pelancong asing.

 

Hasil tinjauan yang dilakukan masih mendapati isu  lambakan dawai karat yang hampir menutupi sebahagian tiang dapat diperhatikan dengan jelas di sepanjang lebuh raya Utara Selatan, Sungai Besi Kuala Lumpur.

 

Lambakan dawai karat dan iklan haram juga masih banyak di dapati di kawasan komuniti penduduk terutamanya yang berada di luar lingkungan pembersihan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diserata negeri.

 

Skyridder dapat mempercepatkan 80% masa kerja membuang dawai yang kebiasaannya ditinggalkan selepas bunting atau gegantung pengiklanan diturunkan. Dawai ini sekiranya ditinggalkan pada tiang lampu, akan mencemarkan pemandangan dan kebersihan persekitaran.

 

Skyridder juga amat mudah digunakan berbanding alat import yang mahal dan lebih berat yang akan memberikan kesan tidak ergonomik sekiranya digunakan berulang-ulang kali.

 

Konsep mekanikal Skyridder yang unik dengan menggunakan tiang lampu itu sendiri sebagai daya penahan bagi membolehkan pemotong khas berfungsi memotong dawai berbanding kaedah sedia ada seperti wayar dan takal.

 

Setiap tahun pihak PBT seperti DBKL, MPSJ, dan lain-lain turut mengetengahkan isu yang sama berkaitan lambakan iklan haram di media massa dan telah memperuntukkan kos yang tinggi bagi kerja pembersihan setiap tahun.

 

Walaupun terdapat kaedah alternatif menggunakan papan iklan LED, namun penggunaan gegantung masih menjadi keutamaan di sebabkan kosnya yang rendah dan juga lambakan syarikat perkhidmatan yang menawarkan kaedah pengiklanan ini, sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar.

 

Penggunaan Skyridder boleh mengelakkan kerja dijalankan pada waktu malam bagi mengelakkan sebarang kecelakaan disebabkan kebocoran elektrik. Terdapat kerja pembersihan yang dijalankan pada waktu malam bagi mengelakkan faktor panas terik, dan trafik yang tinggi pada waktu siang.

 

Program LOTHI ini telah memberi peluang kepada perekacipta untuk membangunkan produk inovasi yang berpotensi tinggi untuk dikomersialkan serta memberi pengiktirafan kepada inovasi dan inovator di Malaysia.

 

Setiap inovasi  yang menyertai program ini telah melepasi saringan kualiti yang baik

mampu milik, memanfaatkan golongan terpinggir seperti penduduk kawasan luar bandar dan orang kurang upaya, jangkauan sasaran pengguna produk yang luas dan persaingan yang mampan dan berterusan dengan produk yang telah berada dalam pasaran.

 

Sekuriti makanan, Kenderaan Pintar, Agroteknologi, Bandar Pintar dan Alam Sekitar & Biodiversiti adalah kategori utama yang telah dipertandingkan secara atas talian oleh pereka dari seluruh negara.

 

Terdahulu inovasi Skyridder juga telah memenangi pingat Emas - Malaysia Invention & Innovation Expo (MIIX) 2022 dan Par Excellence Award - International Convention on Quality Control Circles 2021 Hyderabad India, Emas - Annual Productivity & Innovation Conference and Exposition MPC 2020 dan Emas,  Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Universiti Awam 2019. 

 

Date of Input: 30/01/2023 | Updated: 26/05/2023 | aishah

MEDIA SHARING

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
SXDdNAU~