Kerjasama Universiti Dan Industri: Pemacu Kejayaan Inovasi Qarbotech | PUTRA SCIENCE PARK sciencepark
» NEWS » Kerjasama Universiti dan Industri: Pemacu Kejayaan Inovasi Qarbotech

Kerjasama Universiti dan Industri: Pemacu Kejayaan Inovasi Qarbotech

Pada 15 Januari 2025, sesi rakaman podkas bertajuk “Kerjasama Universiti dan Industri: Kunci Kejayaan Inovasi” telah berlangsung dengan menampilkan dua tetamu jemputan istimewa, iaitu Pengarah Putra Science Park (PSP), Prof. Dr. Samsilah Roslan, dan Pengarah Institut Nano Sains dan Nano Teknologi UPM (ION2), Prof. Ts. Dr. Suraya Abdul Rashid. Podkas ini memberi tumpuan kepada peranan kerjasama strategik antara universiti dan industri dalam memacu inovasi, khususnya melalui platform seperti InnoHub UPM.

Perbincangan dimulakan dengan pengenalan tentang fungsi dan sumbangan InnoHub UPM dalam mendukung inovasi daripada peringkat penyelidikan sehingga ke pasaran. Prof. Dr. Samsilah Roslan menjelaskan bagaimana InnoHub berfungsi sebagai penghubung antara penyelidik dan industri melalui pelbagai inisiatif strategik. Menurut beliau, sokongan ini bukan sahaja mempermudah proses pengkomersilan tetapi turut membantu penyelidik dalam memahami keperluan sebenar pasaran. Produk inovasi seperti Qarbotech adalah contoh kejayaan hasil daripada kerjasama yang erat ini.

Qarbotech, satu inovasi yang diasaskan oleh Prof. Ts. Dr. Suraya Abdul Rashid, merupakan produk yang dibangunkan menggalakkan fotosintesis pada tumbuhan dengan aplikasi luas dalam pelbagai industri. Dalam sesi tersebut, Prof. Suraya berkongsi pengalamannya sebagai pengasas Qarbotech, bermula daripada peringkat idea sehingga berjaya menembusi pasaran. Beliau mengakui sokongan InnoHub UPM sangat penting dalam membina strategi pengkomersilan dan memperkukuh hubungan dengan rakan industri.

Tambah beliau, Qarbotech adalah bukti nyata bagaimana universiti dapat memainkan peranan penting dalam menyelesaikan cabaran teknologi yang dihadapi oleh masyarakat dan industri. Dengan bantuan universiti, penyelidikan yang kompleks dapat diterjemahkan menjadi produk yang relevan dan berimpak tinggi. Sebagai seorang penyelidik , Prof. Suraya turut menekankan bahawa daya tahan, inovasi berterusan, serta jaringan kolaborasi yang kukuh adalah kunci kejayaan dalam membangunkan sebuah produk yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat secara meluas.

Dalam podkas ini, Prof. Dr. Samsilah turut menekankan keperluan untuk memperkukuh ekosistem inovasi di peringkat universiti. Beliau menyarankan agar lebih banyak penyelidik berani mengambil langkah untuk meneroka potensi komersial hasil penyelidikan mereka. Selain itu, beliau menekankan kepentingan sokongan dasar universiti yang progresif serta kesediaan industri untuk berganding bahu dalam mendukung usaha inovasi.

Sesi podkas ini menjadi platform bermakna untuk memberi inspirasi kepada penyelidik, usahawan, dan pihak industri mengenai potensi besar yang dapat dicapai melalui sinergi antara universiti dan industri. Ia juga memperkukuh mesej bahawa inovasi yang berkesan memerlukan gabungan kepakaran teknikal, strategi pemasaran, dan kerjasama yang dinamik.

Podkas tersebut diakhiri dengan harapan agar lebih banyak inovasi seperti Qarbotech dapat dihasilkan di masa hadapan melalui inisiatif InnoHub UPM dan kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan. Sejajar dengan aspirasi universiti untuk menjadi pusat kecemerlangan inovasi, usaha ini membuktikan bahawa universiti mampu menjadi pemangkin perubahan positif dalam landskap teknologi dan ekonomi negara.

Date of Input: 16/01/2025 | Updated: 16/01/2025 | faizfarhan

MEDIA SHARING

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691294
03-89464121
X, (05:42:51am-05:47:51am, 13 Oct 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]