Serdang, 13 Jun 2025 – Putra Science Park (PSP), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menerima lawatan delegasi daripada Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu sesi libat urus yang bertujuan untuk meninjau dan memahami peranan pusat pengurusan inovasi universiti dalam ekosistem pengkomersialan teknologi dan pemindahan ilmu.
Lawatan ini merupakan satu inisiatif penting ke arah memperkukuh jalinan strategik antara institusi pengajian tinggi dengan agensi pembuat dasar negara. Delegasi telah diberi taklimat mengenai peranan, fungsi dan pencapaian PSP dalam menguruskan harta intelek, memperkasa aktiviti pengkomersialan serta menggalakkan kerjasama industri-universiti menerusi program seperti InnoHub.
Sepanjang lawatan, delegasi turut dibawa melawat ke beberapa fasiliti PSP termasuk ruang pameran produk inovasi dan bilik InnoHub yang menjadi pusat pembinaan startup berasaskan teknologi UPM.
Putra Science Park mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas lawatan ini yang diyakini dapat membuka lebih banyak ruang kerjasama antara universiti dan kementerian dalam menjayakan ekosistem inovasi negara.
Date of Input: 13/06/2025 |
Updated: 13/06/2025 | faizfarhan
MEDIA SHARING