SERDANG, 27 MAC 2025 - Universiti Putra Malaysia menerima kunjungan hormat dan lawatan EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Yang Berhormat Tuan Ng Sze Han, di Putra Science Park hari ini.
Kunjungan hormat ini dimulakan dengan lawatan ke beberapa syarikat pemula UPM iaitu Bio-Angle Vacs Sdn. Bhd. dan Lipidware Sdn. Bhd. dan disusuli dengan pameran inovasi berkaitan AI daripada penyelidik, Yang Berbahagia Prof. Ts. Dr. Nurfadhlina Mohd Sharef (Inovasi Video Pengajaran 360 Darjah menggunakan aplikasi ThingLink 360) serta Yang Berbahagia Prof. Dr. Zuriati Ahmad Zukarnain dan MyIRC (teknologi blockchain bagi produk e-kupon).
Yang Berbahagia Prof. Dr. Samsilah Roslan, selaku Pengarah Putra Science Park telah membentangkan cadangan memperkasakan ekosistem pemindahan teknologi dan pengkomersilan melalui Program AI Sandbox dalam bidang bioteknologi. Beliau menekankan bahawa PSP berupaya menjadi peneraju dalam program ini dengan melihat kepada prestasi cemerlang sebagai sebuah science park di Malaysia.
Naib Canselor UPM, Yang Berbahagia Prof. Dato’ Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah menjelaskan program ini juga mampu untuk menarik pelaburan dan pembiayaan serta meningkatkan daya saing di peringkat global bagi UPM dan Kerajaan Negeri Selangor secara keseluruhannya.
Perbincangan bermakna ini menerima maklum balas positif daripada pihak Yang Berhormat serta delegasi Invest Selangor. Semoga kerjasama ini membuka lebih banyak lagi laluan kepada UPM dan Negeri Selangor melangkah ke hadapan dengan penuh megah dalam memenuhi visi dan misi organisasi masing-masing.
Date of Input: 28/03/2025 |
Updated: 28/03/2025 | faizfarhan
MEDIA SHARING