15 Julai 2025 – Putra Science Park, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menerima kunjungan rasmi daripada delegasi Program Usahawan Legasi (BizLegacy) yang dikendalikan oleh Bahagian Pembangunan Usahawan, Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Delegasi lawatan tersebut diketuai oleh En. Mohd Khaizan Dahlan, Timbalan Pengarah, Bahagian Pembangunan Usahawan MARA serta Prof. Dr. Rozhan Othman, Jurulatih Program. Turut serta dalam rombongan ialah wakil-wakil syarikat yang terlibat di bawah Program Pembangunan Usahawan Legasi (BizLegacy), merangkumi pelbagai industri termasuk makanan, perkhidmatan, automotif, pembinaan dan lain-lain.
Sesi lawatan ini telah dipengerusikan oleh Prof. Madya Siti Rahayu Hussin, Penyelaras Program InnoHub, dan turut dihadiri oleh Prof. Madya Dr. Nur 'Aliaa Abdul Rahman, Timbalan Pengarah (Pembangunan Perniagaan), Putra Science Park.
Tujuan utama lawatan ini adalah untuk mendapatkan maklumat secara lebih mendalam mengenai fungsi serta peranan Putra Science Park dalam pemindahan teknologi dan pengkomersialan inovasi-inovasi Universiti. Di samping itu, para peserta turut berpeluang mendapatkan khidmat nasihat daripada pihak UPM berkenaan cabaran-cabaran yang sedang mereka hadapi dalam perniagaan masing-masing.
Lawatan ini turut disertai oleh Dr. Ahmad Haniff Jaafar, Pensyarah Kanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, UPM, yang telah berkongsi pengalaman serta inovasi berasaskan ulam raja kepada para peserta.
Secara keseluruhannya, lawatan ini telah memberikan pendedahan yang bermanfaat kepada para usahawan dalam usaha meningkatkan pengetahuan, memperkukuh daya saing serta memperluaskan jaringan kerjasama strategik antara sektor industri dan universiti.
Date of Input: 16/07/2025 | Updated: 16/07/2025 | faizfarhan

Office of the Deputy Vice Chancellor (Research and Innovation)
Universiti Putra Malaysia
43400 Serdang, Selangor, Malaysia