14 Januari 2025 - Longe Medikal Sdn Bhd, sebuah syarikat permulaan teknologi perubatan (medtech) yang diinkubasi di InnoHub UPM, mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai juara pertandingan MyNext Innovate anjuran TalentCorp, sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA). Pertandingan ini menyaksikan penyertaan 20 syarikat permulaan terbaik dari seluruh negara, dengan setiap peserta mempamerkan inovasi luar biasa mereka dalam pelbagai bidang.
Longe Medikal berjaya menarik perhatian para juri melalui produk inovatif mereka yang menggabungkan perancangan khusus untuk pesakit dan penjagaan kesihatan yang diperibadikan bagi memenuhi keperluan dalam prosedur intervensi. Pendekatan ini bukan sahaja mampu meningkatkan keberkesanan rawatan tetapi juga membawa pengalaman penjagaan pesakit ke tahap yang lebih tinggi, menjadikan mereka peneraju dalam industri medtech.
Pertandingan MyNext Innovate ini merupakan platform penting yang menghimpunkan syarikat-syarikat permulaan berpotensi tinggi untuk mempamerkan kebolehan dan inovasi mereka, di samping mendapat pendedahan kepada pelabur dan pakar industri. Kejayaan Longe Medikal mencerminkan bakat, dedikasi, dan sokongan ekosistem inovasi yang disediakan oleh InnoHub UPM, hab inovasi Universiti Putra Malaysia.
Pengarah Putra Science Park, UPM, Prof. Dr. Samsilah Roslan, menyatakan rasa bangga terhadap pencapaian ini. “Longe Medikal adalah contoh bagaimana UPM melalui InnoHub dapat memupuk dan menyokong idea-idea inovasi hingga mencapai kejayaan di peringkat kebangsaan. Kami berharap kejayaan ini akan menjadi pemangkin untuk terus mencipta lebih banyak inovasi berimpak tinggi,” katanya.
Dengan kemenangan ini, Longe Medikal bukan sahaja membawa pulang gelaran juara tetapi juga membuka peluang untuk memperluas rangkaian mereka dan meningkatkan daya saing produk di pasaran global.
Tahniah kepada Longe Medikal Sdn Bhd atas pencapaian hebat ini. Semoga kejayaan ini menjadi langkah awal untuk terus memberi impak positif kepada industri perubatan dan masyarakat sejagat. Syabas dan semoga terus maju jaya.
Date of Input: 15/01/2025 | Updated: 15/01/2025 | faizfarhan

Office of the Deputy Vice Chancellor (Research and Innovation)
Universiti Putra Malaysia
43400 Serdang, Selangor, Malaysia