Serdang, 7 Mei 2025 – Universiti Putra Malaysia (UPM), melalui Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS), telah menganjurkan Majlis Perasmian Program Bulan Sains Terbuka 2025 yang bertemakan “Sains Terbuka untuk Semua (Open Science for All)”. Majlis berlangsung di Anjung Ilmu, Aras 1, Blok B, PSAS UPM.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Profesor Dr. Zamberi Bin Sekawi, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UPM. Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif strategik universiti dalam memperkukuh amalan Sains Terbuka dalam kalangan penyelidik, pelajar serta masyarakat umum. Ia juga sejajar dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi dalam usaha mendemokrasikan ilmu dan memperluaskan akses kepada data serta hasil penyelidikan negara.
Dalam ucapan perasmiannya, YBhg. Profesor Dr. Zamberi menegaskan bahawa keterbukaan dalam penyelidikan adalah pemangkin kepada inovasi berimpak tinggi serta merangsang kolaborasi rentas disiplin dan sempadan. Beliau turut menzahirkan komitmen UPM untuk terus memperjuangkan prinsip akses terbuka dalam memastikan ilmu dapat dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat secara adil dan menyeluruh.
Turut hadir sama memeriahkan majlis ialah Pengarah Putra Science Park UPM, Prof. Dr. Samsilah Roslan, bersama para pegawai kanan universiti serta wakil-wakil fakulti dan pusat tanggungjawab yang lain.
Sempena Bulan Sains ini, pameran inovasi turut diadakan bagi memperlihatkan pelbagai hasil ciptaan dan teknologi terkini oleh penyelidik UPM. YBhg. Profesor Dr. Zamberi berkesempatan melawat reruai Putra Science Park, di mana beliau diberi penerangan berkaitan pelbagai produk inovatif dan berpotensi tinggi untuk dikomersialkan.
Penganjuran Bulan Sains Terbuka ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada gerakan Sains Terbuka di peringkat universiti dan nasional, selaras dengan matlamat pembangunan mampan serta keterangkuman ilmu untuk masa depan yang lebih lestari, inklusif dan berdaya saing.
Date of Input: 08/05/2025 |
Updated: 08/05/2025 | faizfarhan
MEDIA SHARING