16 April 2025 - Putra Science Park (PSP), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengadakan satu mesyuarat atas talian bersama dua penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan UPM iaitu Prof. Madya Ir. Dr. Norhashila Hashim dan Prof. Ir. Dr. Faizal Mustapha bagi membincangkan potensi pengkomersilan dua teknologi inovasi universiti. Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Prof. Madya Dr. Wan Nurhayati Wan Ab. Rahman, Timbalan Pengarah Seksyen Pemindahan Teknologi dan Pengkomersilan, PSP. Dua teknologi yang diperkenalkan dalam sesi ini ialah Biogenic Nanosilica Xerogel From Low Cost Renewable Resources Glutinous Rice Husk, hasil inovasi berasaskan sumber boleh diperbaharui daripada sekam pulut, serta Fire Retardant Coating Composition, satu formulasi salutan kalis api berprestasi tinggi.
Perbincangan ini memberi fokus kepada pengenalan dan penerangan komprehensif berkenaan kelebihan, potensi pasaran, serta strategi komersilan kedua-dua teknologi sebelum sesi rasmi pembentangan bersama pihak industri antarabangsa, Percept Commercials FZE dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang dijadualkan berlangsung pada 17 April 2025 (Khamis). Mesyuarat ini merupakan langkah awal bagi memastikan penyampaian teknologi UPM dapat disampaikan secara strategik dan memenuhi keperluan serta kehendak industri luar negara. Putra Science Park akan terus komited memperkasa kerjasama strategik seumpama ini bagi memperluas capaian teknologi UPM ke pasaran antarabangsa, seiring usaha universiti menjadi peneraju inovasi berimpak global.
Date of Input: 17/04/2025 | Updated: 17/04/2025 | faizfarhan

Office of the Deputy Vice Chancellor (Research and Innovation)
Universiti Putra Malaysia
43400 Serdang, Selangor, Malaysia