Pada 13 Januari 2025, satu mesyuarat kolaborasi telah diadakan antara Putra Science Park (PSP) Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Malaysian Investment Development Authority (MIDA) bertempat di MIDA Sentral, Kuala Lumpur. Mesyuarat ini bertujuan untuk membincangkan peluang kerjasama strategik dalam usaha memperkukuhkan ekosistem syarikat start-up dan rakan pelesenan UPM, sekali gus memacu perkembangan teknologi dan inovasi ke arah pengkomersialan yang lebih mampan.
Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Puan Azlina Hamdan, Pengarah Bahagian Sains Hayat dan Teknologi Perubatan MIDA, bersama wakil daripada Bahagian Pelaburan Domestik MIDA. Delegasi UPM diketuai oleh Pengarah PSP, Prof. Dr. Samsilah Roslan, yang turut disertai oleh Prof. Madya Siti Rahayu Hussin dan Inv. Asrizam Esam. Perbincangan ini menyentuh pelbagai aspek penting termasuk mekanisme sokongan pelaburan, inisiatif penambahbaikan start-up, peluang akses kepada dana, serta pembangunan jaringan dengan industri domestik dan antarabangsa.
Kerjasama ini diharapkan dapat membuka laluan baharu untuk UPM dalam memperluaskan peluang pelesenan teknologi dan memperkasakan inovasi daripada penyelidikannya. Langkah ini juga sejajar dengan matlamat strategik PSP untuk menjadi pusat rujukan utama dalam pembangunan ekosistem pengkomersialan yang menyokong pertumbuhan ekonomi negara melalui inovasi berimpak tinggi.
Date of Input: 14/01/2025 | Updated: 14/01/2025 | faizfarhan

Office of the Deputy Vice Chancellor (Research and Innovation)
Universiti Putra Malaysia
43400 Serdang, Selangor, Malaysia