PADIMEDICAL: INOVASI UPM MEMPERCEPATKAN PERKONGSIAN IMEJ PERUBATAN BERASASKAN AI | PUTRA SCIENCE PARK
» NEWS » PADIMEDICAL: INOVASI UPM MEMPERCEPATKAN PERKONGSIAN IMEJ PERUBATAN BERASASKAN AI

PADIMEDICAL: INOVASI UPM MEMPERCEPATKAN PERKONGSIAN IMEJ PERUBATAN BERASASKAN AI

SERDANG, 18 November – Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mencipta inovasi dalam pengurusan imej perubatan melalui Sistem PadiMedical yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi menggantikan penggunaan filem dan CD tradisional.
 
Teknologi ini direka untuk memudahkan perkongsian data perubatan dan mempercepatkan proses diagnosis awal.
 
Menurut Ketua Penyelidik Jabatan Radiologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, Prof. Dr. Ahmad Sobri Muda, Sistem PadiMedical berfungsi sebagai platform pengurusan imej perubatan berasaskan AI yang membolehkan akses kepada imej perubatan di mana sahaja.
 
"Sistem Ini sangat membantu dalam sesi rundingan pakar secara jarak jauh, menjadikan proses lebih pantas dan mudah untuk doktor mengakses data pesakit dengan cepat, sekali gus mempercepatkan proses rujukan pakar bagi kes-kes kritikal dan dapat meningkatkan kesejahteraan pesakit secara keseluruhan," katanya.
 
''Inovasi ini turut membolehkan sektor kesihatan bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan, terutama dalam konteks rawatan jarak jauh dan teleperubatan,'' katanya.
 
Putra Science Park (PSP), UPM bekerjasama dengan Longe Medikal Sdn. Bhd. dalam pengurusan imej perubatan melalui Sistem PadiMedical membawa teknologi perubatan ini ke pasaran bagi mempercepatkan inovasi dalam ekosistem kesihatan pintar.
 
Kerjasama ini bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan pengimejan perubatan yang lebih mudah diakses dan berpatutan di seluruh negara.
 
Tambahnya, penggunaan teknologi ini dapat meningkatkan produktiviti serta menyediakan perkhidmatan yang lebih mampu milik.
 
''Sistem PadiMedical dijangka dapat memberi impak besar kepada sektor kesihatan dengan memudahkan akses dan mempercepatkan perkhidmatan perubatan kepada masyarakat,'' ujarnya.
 

Date of Input: 18/11/2024 | Updated: 18/11/2024 | faizfarhan

MEDIA SHARING

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
W, (09:08:22pm-09:13:22pm, 11 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]