Pelajar Perkasa Ilmu Sains Biologi Kepada Komuniti Anak Orang Asli Tasik Chini | PUTRA SCIENCE PARK
» NEWS » Pelajar perkasa ilmu sains biologi kepada komuniti anak Orang Asli Tasik Chini

Pelajar perkasa ilmu sains biologi kepada komuniti anak Orang Asli Tasik Chini

TASIK CHINI – Seramai 44 pelajar Jabatan Biologi, Fakulti Sains Universiti Putra Malaysia (UPM) menjayakan program “Let’s Listen to Nature 4.0” bertemakan “Nature is the Art of God” yang disertai 44 orang komuniti anak Orang Asli dari sekolah kluster kecemerlangan, Sekolah Kebangsaan Tasik Chini, Pahang baru-baru ini. 

 

Program itu dianjurkan Kelab Mahasiswa Biologi (KMB-FASSA), Jabatan Biologi, Fakulti Sains, UPM dengan kerjasama Pusat Pemerkasaan Remaja (PERKASA), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM & Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC), UKM, Pahang.

 

Program bertemakan “Nature is the Art of God” itu menekankan pemindahan ilmu biologi kepada komuniti anak Orang Asli yang terdiri daripada murid-murid Tahun 4 hingga 6 dari Sekolah Kebangsaan Tasik Chini melalui aktiviti “Explorace: Biology Is Life, Biology Is Us!”.

Sembilan aktiviti perlu dilengkapkan oleh setiap kumpulan supaya mereka dapat meneruskan permainan ke pusingan penentuan, di mana kesemua kumpulan akan dikumpulkan bersama-sama untuk melakukan aktiviti secara serentak.

 

Antara aktiviti yang dijalankan ialah “Keep On Track”, “Giant Bingo”, ”Talking Stick”, “Guess It Out,” manakala di pusingan penentuan ialah, “Nature Got Help”. Setiap aktiviti diselitkan dengan ilmu biologi seperti ciri-ciri haiwan, kesan penggunaan plastik terhadap alam sekitar dan penekanan konsep 3R (Reuse, Reduce, Recycle).

 

Penasihat program dan KMB, Dr. Mohd Noor Hisham Mohd Nadzir berkata program itu berjaya menarik minat murid-murid daripada komuniti Orang Asli bukan sahaja dalam memahami ilmu biologi malah turut memberi pendedahan tentang pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar melalui pendedahan isu-isu semasa yang berkait rapat dengan alam sekitar.

 

Penasihat program dan KMB, Dr. Bokhary Zainal pula berkata, pelajar UPM pula dapat mempelajari cara yang sesuai untuk menyampaikan maklumat kepada murid-murid anak Orang Asli SK Tasik Chini dengan berfikiran lebih kreatif dalam merancang setiap aktiviti yang dijalankan agar maklumat yang disampaikan mudah difahami dan diaplikasi.

 

Program turut mendapat tajaan serta sokongan daripada Fakulti Sains UPM, sumbangan dari orang perseorangan serta tajaan daripada Pusat Pemerkasaan Remaja (PERKASA) UKM.

Pegawai Penyelidik Pusat Penyelidikan Tasik Chini, Nur Amelia Abas berkata beliau objektif program berjaya dicapai melalui aktiviti permainan bertemakan alam sekitar.

 

“Melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan, penekanan banyak diberikan terhadap pemuliharaan. Hal ini telah membuktikan bahawa salah satu objektif program telah berjaya dicapai,” katanya.

Pengarah program, Muhammad Afiq Mohd Zaidi berharap program seperti itu dapat diteruskan lagi pada masa akan datang agar dapat mendedahkan lebih ramai pelajar dengan ilmu biologi.

 

“Jika berpeluang untuk menyertai program seperti ini lagi. rebutlah. Selain rasa berpuas hati apabila dapat menyampaikan sedikit sebanyak ilmu berkaitan biologi kepada komuniti, kita juga dapat melatih diri untuk berfikiran kreatif dan kritis dalam menyusun strategi dan menyelesaikan masalah yang mendatang sebelum dan semasa program berlangsung,” katanya. - UPM

Date of Input: 30/03/2020 | Updated: 30/03/2020 | asrizam

MEDIA SHARING

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
C1590959097