Perdana Menteri Saksikan Inovasi Dron BVLOS UPM Di Smart City Expo Kuala Lumpur – AI Cities 2025 | PUTRA SCIENCE PARK sciencepark
» NEWS » Perdana Menteri Saksikan Inovasi Dron BVLOS UPM di Smart City Expo Kuala Lumpur – AI Cities 2025

Perdana Menteri Saksikan Inovasi Dron BVLOS UPM di Smart City Expo Kuala Lumpur – AI Cities 2025

KUALA LUMPUR, 18 Sept – Universiti Putra Malaysia (UPM) terus membuktikan kepakarannya dalam bidang teknologi apabila menyertai Smart City Expo Kuala Lumpur – AI Cities 2025 dengan menampilkan inovasi terkini dalam operasi dron menggunakan teknologi Beyond Visual Line of Sight (BVLOS). Penyertaan ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik bersama Ericsson dan Digital Nasional Berhad (DNB) dalam memperkukuh agenda pembangunan bandar pintar di Malaysia.
 
Majlis pameran yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu menerima kunjungan istimewa Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, yang meluangkan masa meninjau reruai UPM-Ericsson-DNB. Dalam lawatan tersebut, beliau turut menyaksikan demonstrasi teknologi dron BVLOS yang berpotensi besar dalam pelbagai aplikasi, termasuk keselamatan, pertanian pintar, pemantauan bandar dan pengurusan bencana.
 
Kehadiran Perdana Menteri bukan sahaja mengiktiraf pencapaian UPM dalam bidang penyelidikan dan inovasi, malah membuktikan peranan universiti tersebut sebagai peneraju teknologi yang menyokong aspirasi negara ke arah transformasi digital dan bandar pintar bersepadu.
 
UPM@Smart City Expo 2025
 
Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menyertai Smart City Expo Kuala Lumpur – AI Cities 2025 bersama Ericsson dan Digital Nasional Berhad (DNB), sekali gus menampilkan kepakaran dalam teknologi Beyond Visual Line of Sight (BVLOS) bagi operasi dron. Expo ini telah dirasmikan oleh YB Menteri Digital, Gobind Singh Deo, yang menekankan kepentingan teknologi pintar berasaskan AI dan 5G dalam pembangunan bandar masa hadapan.
 
Kerjasama UPM bersama DNB dan Ericsson memberi fokus kepada pembangunan 5G-enabled AI drone sandbox di kampus UPM, membolehkan pelaksanaan dan pengujian operasi UAV secara BVLOS dengan selamat. Infrastruktur rangkaian 5G oleh Ericsson menjadi tulang belakang bagi demonstrasi dan pameran teknologi ini, membuktikan Malaysia semakin hampir merealisasikan penggunaan dron dalam sektor seperti mobiliti bandar, keselamatan awam, pertanian pintar, serta pengurusan persekitaran.
 
Dron yang dipamerkan oleh UPM di expo tersebut telah mendapat perhatian ramai pihak, termasuk pengunjung industri dan agensi kerajaan, yang melihat potensinya dalam memperkukuh ekosistem bandar pintar negara. Penglibatan UPM bukan sahaja menyerlahkan peranan universiti sebagai hab penyelidikan dan inovasi, malah mengukuhkan kedudukannya sebagai rakan strategik dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai AI Nation.

Date of Input: 18/09/2025 | Updated: 16/10/2025 | faizfarhan

MEDIA SHARING

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691294
03-89464121
X, (08:27:44am-08:32:44am, 06 Oct 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]