Serdang, 25 Jun 2025 – Putra Science Park (PSP), Universiti Putra Malaysia (UPM) terus komited dalam memperkukuh ekosistem pengkomersilan inovasi dengan penganjuran Program Pemerkasaan Syarikat Pemula InnoHub (PPSPI) minggu ke-10 secara fizikal yang berlangsung hari ini. Program ini melibatkan penyertaan aktif daripada 17 projek dan syarikat pemula (startups) di bawah Program InnoHub UPM.
Sesi kali ini menampilkan penceramah industri berpengalaman, Encik Ahmad Zakir Dato' Wira Jaafar, yang berkongsi input strategik dalam membina model perniagaan yang kukuh dan mampan. Fokus utama adalah bagi membantu syarikat pemula universiti mempercepatkan proses pengkomersilan harta intelek (IP) hasil penyelidikan yang berpotensi tinggi.
Program ini merupakan inisiatif Seksyen InnoHub PSP, yang secara berterusan menyokong pembangunan kapasiti dan kesiapsiagaan pasaran dalam kalangan syarikat pemula yang diasaskan oleh penyelidik dan pelajar pascasiswazah UPM. PPSPI dirangka bagi memperkasa aspek perancangan strategik, validasi pasaran, pengurusan perniagaan, serta daya tahan syarikat dalam persekitaran ekonomi yang kompetitif.
“Bukan hanya tentang mencipta teknologi, tetapi tentang membina perniagaan yang boleh berkembang dan kekal berdaya saing dalam jangka panjang,” jelas Encik Ahmad Zakir dalam sesi perkongsiannya.
Melalui pendekatan bersasar dan berpandukan pengalaman industri sebenar, PPSPI berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan teknologi universiti dengan keperluan industri dan pasaran sebenar. UPM terus membuktikan peranannya sebagai universiti penyelidikan yang bukan sahaja melahirkan inovasi, tetapi juga mampu menzahirkan impak ekonomi melalui pengkomersilan lestari.
Date of Input: 26/06/2025 | Updated: 26/06/2025 | faizfarhan

Office of the Deputy Vice Chancellor (Research and Innovation)
Universiti Putra Malaysia
43400 Serdang, Selangor, Malaysia