BINTULU, 3 Ogos 2026 – Premier Sarawak, Tan Sri Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg telah melawat reruai Universiti Putra Malaysia (UPM) sempena Kongres Kelestarian Pertanian dan Keterjaminan Makanan 2026 (COSAFS 2026) yang berlangsung di Bintulu, Sarawak. Lawatan tersebut turut disertai oleh Naib Canselor UPM, Prof. Dato' Ir. Ts. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah bersama delegasi universiti dan agensi berkaitan yang hadir bagi meninjau inovasi serta teknologi pertanian pintar yang dipamerkan oleh UPM.
Dalam sesi lawatan tersebut, Pengarah Putra Science Park UPM, Prof. Dr. Samsilah Roslan telah memberikan penerangan mengenai pelaksanaan projek Sandbox Sekinchan yang mengintegrasikan pelbagai teknologi pertanian digital bagi meningkatkan produktiviti dan kelestarian sektor penanaman padi. Antara teknologi yang diketengahkan ialah SoilProp, sistem pemetaan dan analisis sifat tanah berasaskan kecerdasan buatan (AI); CropGuard360, sistem pemantauan kesihatan tanaman menggunakan satelit Sentinel-2 dan AI; QarboGrow, teknologi penggalak fotosintesis berasaskan nanoteknologi yang membantu meningkatkan pertumbuhan dan hasil tanaman; serta Mr MoleC, biorepelen berasaskan bahan semula jadi yang berupaya mengawal serangan perosak secara mesra alam. Pendekatan bersepadu ini membolehkan petani membuat keputusan berasaskan data secara masa nyata, mengurangkan risiko kerosakan tanaman dan meningkatkan kecekapan pengurusan sawah secara menyeluruh.
Premier Sarawak turut menyatakan minat yang mendalam terhadap pendekatan bersepadu yang dibangunkan UPM serta potensi teknologi tersebut untuk diterapkan dalam pembangunan sektor agromakanan di Sarawak. Beliau turut menggalakkan agar produk dan inovasi yang dipamerkan, khususnya teknologi yang digunakan dalam Sandbox Sekinchan, dipertimbangkan untuk pelaksanaan di kawasan sawah sekitar Gedong bagi membantu meningkatkan produktiviti, mengurangkan kebergantungan kepada input kimia, memperkukuh daya tahan tanaman serta meningkatkan keterjaminan makanan negeri. Penyertaan UPM di COSAFS 2026 mencerminkan komitmen universiti dalam memacu pemindahan teknologi dan pengkomersialan inovasi pertanian yang mampu memberi impak signifikan kepada industri agromakanan serta menyokong agenda pertanian pintar dan mampan negara.
Date of Input: 04/08/2026 |
Updated: 04/08/2026 | faizfarhan
MEDIA SHARING