Serdang, 12 Mac 2025 – Putra Science Park (PSP), Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Program bersama syarikat di InnoHub terus memperkukuh usaha dalam memasarkan produk inovasi penyelidikan ke pasaran industri. Satu sesi perbincangan telah diadakan antara Seksyen Pemasaran Inovasi, PSP dan Syarikat Pemasaran Qiub Manifest Imagination, yang diketuai oleh Encik Matt Kamil, bagi meneroka peluang kerjasama strategik dalam memperluaskan pemasaran produk InnoHub. Perbincangan ini memberi ruang kepada Qiub untuk memperkenalkan kepakaran mereka dalam membantu syarikat-syarikat InnoHub meningkatkan daya saing serta memperluaskan keterlihatan produk di pasaran tempatan dan antarabangsa.
Dua syarikat InnoHub yang terpilih dalam perbincangan kali ini ialah MyBIO Beauty and Health Sdn. Bhd. dengan produk Moringa Collagen hasil inovasi Prof. Madya Dr. Maimunah Sanny, serta Sos & Pes Labu (Sari Rasa) oleh Dr. Siti Nurhayati Khairatun Mohd Sharif. Perbincangan yang berlangsung secara konstruktif ini membolehkan kedua-dua penyelidik mengemukakan pertanyaan dan menilai potensi strategi pemasaran yang lebih efektif bagi menembusi pasaran yang lebih luas. Dengan kepakaran dan rangkaian luas Qiub dalam bidang pemasaran serta pembangunan jenama secara dalam talian, kerjasama ini dijangka memberi impak besar dalam memastikan produk inovasi UPM mendapat keterlihatan secara lebih meluas.
Usaha ini selari dengan matlamat InnoHub, Putra Science Park UPM untuk memperkasakan pemindahan teknologi universiti ke industri serta menyokong ekosistem pengkomersilan yang lebih mampan. Dengan kolaborasi antara penyelidik, industri, dan pakar pemasaran, produk inovasi UPM berpotensi untuk berkembang lebih meluas dan memberikan manfaat yang lebih besar kepada masyarakat serta ekonomi negara.
Date of Input: 13/03/2025 | Updated: 13/03/2025 | faizfarhan

Office of the Deputy Vice Chancellor (Research and Innovation)
Universiti Putra Malaysia
43400 Serdang, Selangor, Malaysia