
SERDANG, 7 Feb – Putra Science Park (PSP), Universiti Putra Malaysia (UPM) terus mengukuhkan peranannya sebagai pemangkin inovasi dan pengkomersilan teknologi universiti apabila meraikan Sambutan Jubli Baiduri 15 Tahun penubuhannya yang telah menjadi nadi kepada ekosistem inovasi dan pengkomersilan teknologi universiti.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UPM, Prof. Dr. Zamberi Sekawi berkata, sepanjang 15 tahun penubuhannya, PSP telah mencatat pelbagai pencapaian membanggakan dalam pengurusan harta intelek, pemindahan teknologi dan pengkomersilan inovasi.
“PSP telah memayungi pembangunan lebih 80 syarikat pemula berasaskan teknologi, dengan lebih 20 daripadanya berjaya memperoleh pelaburan melebihi RM20 juta, manakala beberapa syarikat lain mencatatkan jualan bernilai jutaan ringgit.

“Pencapaian ini turut diperkukuh dengan penerimaan geran penyelidikan universiti melebihi RM97.4 juta yang menjadi pemangkin kepada kelahiran inovasi baharu berimpak tinggi,” katanya.
Tambah beliau, kerjasama strategik merentasi syarikat multinasional, syarikat tempatan dan agensi kerajaan telah membolehkan teknologi UPM memberi impak ketara dalam sektor pertanian, makanan, kesihatan planet, teknologi hijau serta pelbagai bidang strategik lain.
“Produk dan teknologi yang lahir daripada PSP bukan sahaja meningkatkan produktiviti dan nilai ekonomi tempatan, malah berjaya menembusi pasaran antarabangsa dan membuktikan inovasi UPM mampu berdiri megah di pentas global,” katanya.
Selain itu, sambutan tersebut menjadi titik anjakan kepada PSP untuk melangkah ke fasa seterusnya dengan pendekatan yang lebih mampan, inklusif dan berteraskan impak, sejajar dengan keutamaan nasional dalam ekonomi digital, teknologi hijau, keterjaminan makanan dan kesejahteraan rakyat.
Pengarah Putra Science Park, Dr. Samsilah Roslan, berkata kejayaan 15 tahun ini lahir daripada ekosistem yang berteraskan kepercayaan, kolaborasi dan komitmen bersama melibatkan para penyelidik, pegawai pengurusan IP, rakan industri serta sokongan berterusan agensi kerajaan.
“Setiap paten yang didaftarkan serta prototaip yang dibangunkan serta perjanjian pelesenan dan pemindahan teknologi yang dimeterai membuktikan bahawa ilmu yang lahir di UPM tidak terhenti di menara gading, sebaliknya diterjemahkan menjadi solusi kepada masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, majlis turut diserikan dengan simbolik penyerahan cek oleh SME Corp. Malaysia kepada syarikat pemula di bawah Program InnoHub naungan Putra Science Park.
Sebanyak sembilan syarikat telah menerima geran di bawah Program Inclusive SME Ecosystem atau I-SEE anjuran SME Corp. Malaysia, terdiri daripada lapan syarikat yang dipupuk melalui Program InnoHub PSP serta sebuah syarikat perusahaan kecil dan sederhana.
Program I-SEE bertujuan memberi peluang kepada PKS terpilih untuk membangunkan dan mengkomersialkan inovasi inklusif berpotensi tinggi melalui sokongan pembiayaan geran sehingga RM150,000 bagi setiap syarikat. Kesemua sembilan syarikat ini berjaya memperoleh jumlah keseluruhan geran bernilai RM1,277,068.00.
Sembilan syarikat penerima geran tersebut ialah S&H Ventures Sdn. Bhd., Astera Food Sdn. Bhd., AgroPV Integrated Sdn. Bhd., Suxus Sdn. Bhd., Terradeca Sdn. Bhd., U Empower Sdn. Bhd., MyBio Beauty Sdn. Bhd., Longe Medikal Sdn. Bhd. dan Brainnovyte Sdn. Bhd.
Date of Input: 09/02/2026 | Updated: 09/02/2026 | faizfarhan

Office of the Deputy Vice Chancellor (Research and Innovation)
Universiti Putra Malaysia
43400 Serdang, Selangor, Malaysia