Serdang, 11 Mei 2025 – Putra Science Park (PSP), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengadakan sesi perbincangan bersama wakil syarikat Opulence Exhibition Services Sdn. Bhd., selaku penganjur rasmi Pameran MY FOOD, bagi membincangkan penglibatan UPM dalam acara yang dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat.
Sesi perbincangan ini memberi tumpuan kepada cadangan penyertaan UPM melalui pembukaan ruang pameran khas yang menampilkan inovasi dan teknologi berkaitan makanan hasil penyelidikan warga UPM. PSP turut mencadangkan pewujudan UPM Food Innovation Pavilion sebagai platform promosi dan pendedahan produk inovasi makanan kepada pemain industri, pelabur serta agensi berkepentingan.
Antara perkara utama yang turut dibincangkan termasuk penyertaan penyelidik UPM dalam sesi demonstrasi produk, sesi pitching bersama industri, serta pelaksanaan Klinik Harta Intelek dan Pengkomersilan yang akan dikendalikan oleh pegawai PSP sepanjang acara berlangsung.
Pihak Opulence Exhibition Services menyatakan komitmen mereka dalam menyediakan ruang pameran yang bersesuaian dengan keperluan UPM, serta menyambut baik cadangan kolaborasi strategik ini. Mereka turut memaklumkan beberapa maklumat penting seperti tarikh penganjuran, keperluan teknikal, dan tawaran ruang pameran khas kepada pihak universiti.
Putra Science Park kini dalam perancangan untuk menyelaras penyertaan penyelidik UPM serta akan memaklumkan lanjut kepada fakulti dan institut penyelidikan berkaitan. Penyertaan dalam pameran ini dijangka dapat meningkatkan keterlihatan hasil inovasi UPM di peringkat nasional dan membuka peluang jaringan strategik bersama pihak industri makanan dan minuman.
Date of Input: 11/04/2025 |
Updated: 11/04/2025 | faizfarhan
MEDIA SHARING