25 Februari 2025 – Putra Science Park (PSP), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengadakan sesi perbincangan strategik bersama En. Mohd Shahreza Maswan, Senior Director, Southern Catalyst Sdn Bhd, sebuah anak syarikat di bawah Kementerian Kewangan, bagi meneroka potensi kolaborasi dalam bidang teknologi agritech, harta intelek (IP), dan pengkomersilan teknologi.
Perbincangan ini memberi tumpuan kepada ekosistem Ladang Ayer Manis (LAM) Innovation Park di Kulai, Johor sebagai hab inovasi agritech yang mampan. Kerjasama ini dijangka membuka peluang kepada penyelidik UPM dalam memperluaskan aplikasi teknologi pertanian pintar serta memperkukuh jaringan industri dalam ekosistem inovasi negara.
Turut serta dalam perbincangan ini ialah Timbalan Pengarah PSP UPM, Bahagian Promosi dan Pengurusan Harta Intelek, Ts. Dr. Saiful Hasley Ramli, serta Pegawai Bahagian Korporat & Hubungan Strategik, Inv. Asrizam Esam. Delegasi PSP UPM membentangkan keupayaan universiti dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi agritech yang berpotensi dikomersialkan melalui kerjasama strategik dengan pihak industri.
Southern Catalyst Sdn Bhd, yang memainkan peranan dalam merangsang inovasi dan pelaburan dalam sektor teknologi, melihat potensi besar dalam sinergi bersama UPM. Beberapa teknologi agritech UPM yang telah dipatenkan turut dibincangkan bagi menilai kesesuaian dan keupayaan pelaksanaan di Ladang Ayer Manis Innovation Park.
Perbincangan ini merupakan langkah awal dalam usaha membangunkan hab inovasi pertanian pintar yang bakal memberi manfaat kepada industri, penyelidik, dan komuniti. Kedua-dua pihak akan meneruskan perbincangan lanjut bagi memperincikan bentuk kerjasama serta inisiatif yang boleh dilaksanakan dalam masa terdekat.
Dengan inisiatif ini, PSP UPM terus komited dalam memperkasakan pengkomersilan teknologi dan memperluaskan jaringan strategik bagi memastikan inovasi penyelidikan universiti dapat memberi impak kepada sektor industri dan masyarakat.
Date of Input: 25/02/2025 |
Updated: 25/02/2025 | faizfarhan
MEDIA SHARING