Kuala Lumpur, 6 Oktober 2025 - Pusat pameran World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) bergema dengan sorakan kejayaan apabila Lipidware Sdn. Bhd., syarikat pemula (startup) di bawah program InnoHub Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mengkomersialkan jenama REMDII, diumumkan sebagai pemenang dua anugerah tertinggi sempena National Innovation and Commercialisation Expo (NICE) 2025 yang dirasmikan oleh YAB Dato' Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Acara anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu menghimpunkan inovator terbaik negara dalam meraikan kehebatan sains, teknologi dan pengkomersialan tempatan.
Menerusi inovasi hasil penyelidikan Prof. Dr. Lai Oi Ming dari Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul, UPM, Lipidware Sdn. Bhd. berjaya menawan perhatian juri dengan kemenangan dalam dua kategori berprestij iaitu Anugerah Usahasama Penyelidikan dan Perniagaan Tahun Pengkomersialan 2024 serta Anugerah Keseluruhan Tahun Pengkomersialan Malaysia 2024. Inovasi produk penjagaan kulit berasaskan minyak sawit tempatan di bawah jenama REMDII bukan sahaja membantu pesakit ekzema, malah menjadi bukti nyata bahawa hasil penyelidikan universiti mampu diterjemahkan kepada produk berimpak tinggi di pasaran global.
Kejayaan berganda ini mengukir sejarah baharu buat UPM dan Putra Science Park dalam melahirkan syarikat pemula yang berdaya saing serta memperkukuh peranan universiti sebagai peneraju inovasi negara. Lipidware Sdn. Bhd. kini berdiri sebagai simbol kejayaan kolaborasi antara akademia dan industri, mengangkat inovasi tempatan ke pentas dunia serta membuktikan bahawa penyelidikan Malaysia mampu menjadi kebanggaan global.
Date of Input: 07/10/2025 |
Updated: 07/10/2025 | faizfarhan
MEDIA SHARING