SERDANG, 15 Jun 2026 – Reruai Putra Science Park (PSP), Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi antara tarikan utama sempena Pameran Kesohoran Global Bulan Sinergi PUTRA 2026 yang berlangsung di Dewan Besar UPM. Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman, telah berkesempatan melawat reruai tersebut dan meninjau sendiri pelbagai inovasi berimpak tinggi yang dibangunkan hasil penyelidikan UPM. Lawatan itu turut memberi peluang kepada beliau untuk melihat bagaimana teknologi tempatan berjaya diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar yang memberi manfaat terus kepada komuniti pesawah di Sandbox Sekinchan, Selangor.
Antara inovasi yang dipamerkan ialah SoilProp: Soil Properties Mapping System, sistem pemetaan sifat tanah yang membolehkan petani mengenal pasti keadaan tanah dengan lebih tepat bagi menyokong keputusan pengurusan sawah secara berasaskan data. Turut dipertontonkan ialah produk inovasi QarboGrow dan Mr MoleC, yang membantu meningkatkan kesuburan tanah, mengoptimumkan penggunaan nutrien serta menyokong pertumbuhan tanaman ke arah peningkatan hasil pertanian yang lebih mampan. Pameran ini membuktikan peranan Putra Science Park sebagai pemangkin pemindahan teknologi dan pengkomersilan inovasi UPM, sekali gus memperkukuh aspirasi universiti dalam memacu transformasi sektor agromakanan negara melalui penyelidikan yang memberi impak kepada masyarakat.
Date of Input: 16/06/2026 |
Updated: 16/06/2026 | faizfarhan
MEDIA SHARING