Pada hari Selasa, 10 Januari 2025, telah berlangsung Sesi Penilaian Laporan Kemajuan Geran Pembangunan Produk Penyelidikan (GPPP) bagi Batch 4 2023/4. Sesi ini menyaksikan penyelidik terlibat membentangkan laporan kemajuan projek mereka di hadapan panel penilai yang terdiri daripada empat orang pakar: Prof. Dr. Samsilah Roslan, Ts. Dr. Saiful Hasley Ramli, Dr. Nor Shafizah Ishak, dan Prof. Madya Ir. Dr. Mohammad Effendy Yaacob.
Sepanjang sesi berlangsung, penyelidik telah berkongsi kemajuan terkini projek masing-masing, termasuk hasil kajian, cabaran yang dihadapi, serta perancangan strategik bagi memastikan hasil penyelidikan dapat direalisasikan menjadi produk inovatif yang berpotensi untuk dikomersialkan. Panel penilai telah memberikan maklum balas konstruktif dan cadangan penambahbaikan untuk memantapkan lagi kualiti projek yang dibentangkan.
Putra Science Park (PSP) merakamkan penghargaan yang tinggi kepada semua penyelidik atas dedikasi mereka dalam memastikan kejayaan sesi pembentangan ini. Ucapan terima kasih turut disampaikan kepada panel penilai atas kepakaran dan masa yang dicurahkan dalam menilai serta memberi pandangan yang bernilai bagi memperkukuhkan hala tuju projek-projek di bawah geran ini.
Melalui usaha seperti ini, PSP terus memainkan peranan penting dalam memupuk inovasi dan mempercepatkan proses pengkomersialan teknologi hasil penyelidikan UPM, selaras dengan matlamat untuk memberikan impak positif kepada masyarakat dan industri.
Date of Input: 13/01/2025 | Updated: 13/01/2025 | faizfarhan

Office of the Deputy Vice Chancellor (Research and Innovation)
Universiti Putra Malaysia
43400 Serdang, Selangor, Malaysia