SHAH ALAM, 23 Sept – Selangor Creative Economy Expo 2025 (SCEE25) telah berlangsung meriah di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam dengan menghimpunkan pelbagai pemain industri kreatif, usahawan serta institusi pendidikan tinggi. Universiti Putra Malaysia (UPM) turut mengambil tempat dalam pameran ini dengan menampilkan empat inovasi penyelidikan yang memberi impak besar kepada masyarakat dan industri.
Antara inovasi yang diketengahkan ialah Cosmos Cuppa – Teh Ulam Raja oleh Dr. Ahmad Haniff Jaafar dari Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Nutridhyan – Moringa Kolagen Peptida oleh Prof. Madya Dr. Maimunah Sanny dari fakulti yang sama, BOOKKEEPERS: Permainan Serius untuk Pembelajaran Asas Perakaunan oleh Dr. Aslam Izah Selamat dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, serta Inovasi Teratak Semai oleh Dr. Wan Srihani Wan Mohamed dari Fakulti Rekabentuk dan Senibina. Setiap inovasi ini mencerminkan kepakaran penyelidik UPM dalam pelbagai bidang, daripada sains makanan, pendidikan hingga ke seni bina mampan.
Lebih istimewa, pameran UPM menerima keberangkatan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin yang mencemar duli melawat reruai UPM dan melihat sendiri hasil inovasi penyelidik universiti. Kehadiran baginda bukan sahaja menyerikan suasana pameran, malah memberi penghargaan besar kepada usaha warga penyelidik UPM dalam memperkukuh industri kreatif negara serta menyokong aspirasi Selangor sebagai hab ekonomi kreatif menjelang 2035.
Date of Input: 23/09/2025 |
Updated: 23/09/2025 | faizfarhan
MEDIA SHARING