Universiti Putra Malaysia (UPM) Hari Ini Menerima Kunjungan Hormat Yang Penuh Bersejarah Daripada Presiden Republik Guinea-Bissau, Tuan Yang Terutama (TYT) Jeneral Umaro Mokhtar Sissoco Embaló | PUTRA SCIENCE PARK
» NEWS » Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini menerima kunjungan hormat yang penuh bersejarah daripada Presiden Republik Guinea-Bissau, Tuan Yang Terutama (TYT) Jeneral Umaro Mokhtar Sissoco Embaló

Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini menerima kunjungan hormat yang penuh bersejarah daripada Presiden Republik Guinea-Bissau, Tuan Yang Terutama (TYT) Jeneral Umaro Mokhtar Sissoco Embaló

Serdang, 4 Jun 2025 – Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini menerima kunjungan hormat yang penuh bersejarah daripada Presiden Republik Guinea-Bissau, Tuan Yang Terutama (TYT) Jeneral Umaro Mokhtar Sissoco Embaló, bagi membincangkan potensi kerjasama strategik dalam bidang bioteknologi, khususnya yang melibatkan sektor pertanian dan perikanan.
 
Kunjungan rasmi ini turut disertai oleh Ketua Protokol, Wisma Putra, Kementerian Luar Negeri Malaysia, Dato’ Yubazlan Yusof, dan disambut mesra oleh Naib Canselor UPM, Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, serta Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), Prof. Madya Dr. Dahlia Zawawi.
 
Dalam sesi perbincangan dua hala yang berlangsung, kedua-dua pihak menyentuh peluang kolaborasi masa depan meliputi bidang penyelidikan, inovasi dan pemindahan teknologi yang mampu memperkukuh keupayaan Guinea-Bissau dalam membangunkan sektor pertanian dan perikanannya melalui sokongan pendidikan tinggi serta pembangunan sumber manusia.
 
Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan menyifatkan lawatan ini sebagai satu penghormatan besar kepada UPM dan membuka ruang strategik baharu untuk hubungan antarabangsa universiti.
 
TYT Presiden turut meluangkan masa melawat reruai inovasi Putra Science Park (PSP), UPM. Dalam sesi lawatan itu, beliau menyatakan minat yang tinggi terhadap beberapa produk inovatif universiti termasuk Qarbotech, Mr MoleC, morinGO Tablet Mudah Kunyah, dan Moringa Collagen Peptide. Keempat-empat produk ini merupakan hasil penyelidikan berimpak tinggi yang telah diperkasa melalui usaha pengkomersialan oleh PSP.
 
Pengarah PSP, Prof. Dr. samsilah Roslan, yang turut sama mengiringi lawatan, memberikan penerangan lanjut mengenai proses penghasilan dan strategi pengkomersialan yang dijalankan bagi membolehkan teknologi UPM menembusi pasaran antarabangsa. Lawatan tersebut jelas membuktikan komitmen UPM dalam menjadikan inovasi sebagai pemacu kepada kerjasama global yang mampan dan berimpak tinggi.

Date of Input: 05/06/2025 | Updated: 05/06/2025 | faizfarhan

MEDIA SHARING

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
W, (09:01:49pm-09:06:49pm, 11 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]