2 Julai 2026 - Satu sesi pembentangan berkaitan usaha Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam menyokong agenda sekuriti makanan negara telah diadakan pada 2 Julai 2026 di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 2, Wisma Tani 4G1, Putrajaya. Sesi tersebut dipengerusikan oleh YBrs. Tuan Shamsul Akbar bin Sulaiman, Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri Padi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM). Delegasi UPM telah diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), YBhg. Profesor Dr. Zamberi bin Sekawi.
Program ini diadakan susulan hasrat UPM untuk memperluaskan pelaksanaan teknologi inovatif yang telah menunjukkan kejayaan melalui projek Sekinchan Sandbox di bawah Agenda Pertanian Untuk Rakyat (PUTRA) dan inisiatif penggunaan benih Padi U-Putra ke seluruh kawasan jelapang padi negara. Inisiatif ini merupakan usaha strategik bagi memperkukuhkan agenda sekuriti makanan negara selaras dengan Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2.0 serta Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13). Kejayaan tuaian pada Mei 2026 di Sekinchan Sandbox telah merekodkan hasil sebanyak 10.5 tan sehektar, sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan berasaskan teknologi dan inovasi UPM dalam meningkatkan produktiviti pengeluaran padi negara.
Dalam sesi tersebut, UPM telah membentangkan pelbagai inisiatif dan pencapaian teknologi inovatif dalam sektor pertanian, khususnya melalui penggunaan inovasi QarboGrow, Mr MoleC dan SoilProp. Penggunaan teknologi dan inovasi ini dilaporkan telah memberikan impak yang memberangsangkan dalam meningkatkan kesuburan tanah, mengoptimumkan pertumbuhan tanaman serta menyokong peningkatan hasil pengeluaran padi.
Pembentangan tersebut turut mengusulkan peluasan pelaksanaan teknologi berkenaan ke kawasan jelapang padi di seluruh negara bagi memperkukuh ekosistem pertanian moden, meningkatkan produktiviti sektor padi serta menyokong usaha memperkasa sekuriti makanan negara secara mampan melalui pemindahan teknologi dan kerjasama strategik antara UPM dan KPKM.
Date of Input: 03/07/2026 |
Updated: 03/07/2026 | faizfarhan
MEDIA SHARING