UPM Cemerlang Rangkul Sembilan Emas ITEX | PUTRA SCIENCE PARK
» NEWS » UPM Cemerlang Rangkul Sembilan Emas ITEX

UPM Cemerlang Rangkul Sembilan Emas ITEX

KUALA LUMPUR, 30 Mei - Universiti Putra Malaysia (UPM) cemerlang dengan merangkul sembilan pingat emas dan tiga pingat perak di The International Invention, Innovation & Technology Exhibition 2022 (ITEX) yang diadakan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) dari 26 hingga 27 Mei 2022.

ITEX merupakan pameran rekacipta dan inovasi berprestij antarabangsa yang diadakan secara tahunan, anjuran Malaysian Invention and Design Society (MINDS) dan C.I.S. ITEX turut menyediakan platform dan pasaran bagi idea dan inovasi terkini di peringkat global.

Presiden Malaysian Invention and Design Society (MINDS), Prof. Emeritus Tan Sri Augustine Ong Soon Hock berkata ITEX 2022 menandakan tahun ke-33 penganjurannya dan lebih daripada 80% inovasi yang dipertandingkan dalam ITEX kali ini telah bersedia untuk dikomersilkan kepada pihak industri.

ITEX 2022 menerima lebih daripada 500 penyertaan daripada sektor korporat, antarabangsa, universiti, institusi penyelidikan dan sebagainya yang melibatkan lebih daripada 15 buah negara antaranya Arab Saudi, Singapura, Thailand dan banyak lagi.

UPM menarik perhatian perekacipta dari dalam dan luar negara, dengan mempamerkan inovasi dan teknologi terkini dalam pelbagai bidang profesional meliputi pertanian, kejuruteraan, sains sosial dan bioteknologi.

Sembilan pingat emas yang diraih merupakan hasil dari komitmen dan dedikasi yang tinggi oleh barisan penyelidik dalam membangunkan inovasi terbaik iaitu Hexa-MOFs Fungicides Nanodelivery oleh Prof. ChM Dr. Mohd Basyaruddin Abdul Rahman dari Fakulti Sains, Nanocellulose: A Versatile Nanoadditive oleh Prof. Ts. Dr. Hidayah Ariffin dari Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul, M’SReD: Durian Rind Shredder for Efficient Biowaste Composting oleh Prof. Ts. Dr. Rosnah Shamsudin dari Fakulti Kejuruteraan, MMTWENTY: Portable Electrochemical Device for Uric Acid Detection oleh Prof. Madya Dr. Shahrul Ainliah Alang Ahmad dari Fakulti Sains, Putra Red: Premium UPM Red Hybrid Tilapia oleh Prof. Madya Dr. Yuzine Esa dari Fakulti Pertanian, Plant-based extract formulation for controlling sucking insect in agriculture field oleh Ts. Dr. Norhayu Asib dari Fakulti Pertanian, New Harvesting Machine for Agrivoltaic Herbal Crops Based on Reel-Wheel Rotating Mechanism oleh Ts. Dr. Mohd Salahuddin Mohd Basri dari Fakulti Kejuruteraan, e-Language hunting in Visual and Augmented Dimension: Hunting with e-language oleh Dr. Ilyana binti Jalaluddin dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi dan Putra Pro-Cut and Putra Fast-Snap Improves Marcotting Propagation Technique oleh Md Rozaidi Md Yusof dari Pusat Pertanian Putra.

Putra Pro-Cut and Putra Fast-Snap Improves Marcotting Propagation Technique merupakan inovasi yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelawat ITEX di ruang pameran UPM. Inovasi ini dihasilkan bagi memudahkan proses pembiakan markot memandangkan ia adalah kaedah pembiakan tanaman yang popular dan merekodkan peningkatan produktiviti sehingga 400% dan 50% pengurangan proses kerja sekaligus kejayaan pembiakan tanaman secara markot juga meningkat kepada 91%.

UPM turut merangkul tiga pingat perak untuk mengukuhkan lagi pencapaian cemerlangnya.

Timbalan Pengarah, Bahagian Promosi dan Pengkomersilan Inovasi Putra Science Park (PSP), UPM, Prof. Madya Dr. Wan Nurhayati Wan Ab Rahman berkata, UPM sekali lagi meneruskan tradisi kecemerlangannya dengan memenangi pingat bagi kesemua 12 inovasi yang dipertandingkan.

"UPM sangat komited dalam menghasilkan serta mengkomersilkan inovasi yang dapat memberi kebaikan kepada masyarakat dan negara serta mengalu-alukan kolaborasi daripada rakan industri bagi membawa hasil penyelidikan ke pasaran supaya manfaatnya dapat dikongsi dengan semua pihak yang disasarkan," katanya.

ITEX 2022 menyediakan platform untuk pencipta, penyelidik, pereka, dan usahawan untuk mempamerkan ciptaan, idea dan prototaip terkini mereka sekali gus menghubungkan dengan industri di seluruh dunia.

PSP UPM selaku pengurus inovasi UPM akan terus memastikan inovasi UPM diketengahkan kepada umum dan seterusnya menyasarkan kolaborasi dengan pihak industri bagi mengkomersilkan hasil penyelidikan terbaik UPM.

ITEX 2022 turut menampilkan anugerah khas, ITEX Awards, Asian Invention Excellence Awards, IFIA Award, Malaysia Innovative Product Award, Sponsor Awards, International Awards bagi meraikan inovasi dan teknologi terbaik sekali gus menggalakkan pertumbuhan perniagaan baru untuk muncul dan memacu sektor ekonomi negara. - UPM

Date of Input: 31/05/2022 | Updated: 31/05/2022 | asrizam

MEDIA SHARING

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
CVHDNA5:13:06