Serdang, 13 Mac 2025 – Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Ifcon Technology Sdn. Bhd. terus memperkukuh hubungan strategik dalam usaha mengkomersialkan teknologi inovatif melalui sesi perbincangan yang diadakan hari ini. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Wan Nurhayati Wan Ab. Rahman menyaksikan kehadiran Pengarah Teknikal Ifcon Technology, En. Nik Izwan Kamel serta pakar penyelidik UPM, YBrs. Prof. Madya Dr. Ahmad Fikri Bin Abdullah dari Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik.
Perbincangan utama tertumpu kepada projek IoT-based Water Quality Monitoring System, sebuah inovasi yang dibiayai oleh dana Geran Penyelidikan Putra (GPPP). Projek ini mendapat perhatian Ifcon Technology sebagai rakan kolaborasi strategik yang berpotensi untuk membawa teknologi ini ke peringkat komersial melalui pelesenan.
Sesi ini berlangsung dengan penuh dinamik, melibatkan soal jawab mendalam serta rundingan terma-terma pelesenan teknologi. Pihak syarikat menyatakan keyakinan terhadap keupayaan penyelidik UPM dalam membangunkan teknologi yang berdaya saing serta relevan dengan keperluan industri.
Kerjasama ini bukan sahaja membuka ruang kepada pembangunan teknologi pemantauan kualiti air yang lebih efisien, malah mengukuhkan sinergi antara akademia dan industri dalam memperkasakan inovasi tempatan untuk manfaat sektor akuakultur dan persekitaran.
Date of Input: 13/03/2025 | Updated: 13/03/2025 | faizfarhan

Office of the Deputy Vice Chancellor (Research and Innovation)
Universiti Putra Malaysia
43400 Serdang, Selangor, Malaysia