KUALA LUMPUR, 6 Oktober 2025 – Sempena National Innovation and Commercialisation Expo (NICE) 2025, telah berlangsung majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Putra Agrotech Sdn. Bhd., sebuah syarikat pemula (startup) di bawah bimbingan InnoHub UPM. Pertukaran memorandum ini dimeterai bagi memperkukuh usaha pengkomersialan Benih Padi Putra 1 dan Putra 2, hasil penyelidikan Prof. Dr. Mohd Rafii Yusop dari Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS), UPM.
Usaha ini merupakan langkah strategik dalam memastikan hasil penyelidikan universiti diterjemahkan kepada manfaat industri, khususnya dalam meningkatkan produktiviti padi tempatan dan daya tahan terhadap cabaran iklim serta penyakit tanaman. Ia juga selaras dengan misi negara untuk memperkukuh kedaulatan makanan melalui inovasi pertanian berasaskan sains dan teknologi.
Kerjasama ini memperlihatkan komitmen UPM dalam melahirkan syarikat pemula berdaya saing melalui InnoHub, serta menegaskan peranan universiti sebagai peneraju inovasi pertanian negara. Dengan bimbingan berterusan daripada Putra Science Park, UPM terus memperkukuh ekosistem pengkomersialan yang menghubungkan penyelidikan akademia dengan keperluan industri dan rakyat.
Date of Input: 07/10/2025 | Updated: 07/10/2025 | faizfarhan

Office of the Deputy Vice Chancellor (Research and Innovation)
Universiti Putra Malaysia
43400 Serdang, Selangor, Malaysia