UPM, DNB JALIN KERJASAMA STRATEGIK BANGUNKAN INFRASTRUKTUR 5G BAGI MEMACU AI SANDBOX UPM | PUTRA SCIENCE PARK sciencepark
» NEWS » UPM, DNB JALIN KERJASAMA STRATEGIK BANGUNKAN INFRASTRUKTUR 5G BAGI MEMACU AI SANDBOX UPM

UPM, DNB JALIN KERJASAMA STRATEGIK BANGUNKAN INFRASTRUKTUR 5G BAGI MEMACU AI SANDBOX UPM

SERDANG, 4 Ogos – Universiti Putra Malaysia (UPM) menjalinkan kerjasama strategik dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Digital Nasional Berhad (DNB) dalam usaha memperkasakan teknologi 5G dan kecerdasan buatan (AI) melalui pembangunan AI Sandbox UPM yang merupakan penyelidikan berimpak tinggi secara terancang untuk menyokong ekosistem inovasi teknologi masa hadapan.
 
Melalui kerjasama ini, UPM berpeluang menjadi salah satu universiti terkemuka yang menggunakan infrastruktur 5G bagi memperkukuh ekosistem penyelidikan, pemindahan teknologi, dan pengkomersilan inovasi, sekaligus menyumbang kepada matlamat pengantarabangsaan universiti.
 
Naib Canselor UPM, Dato' Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, kerjasama ini menyaksikan UPM menjadi universiti terawal yang dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur rangkaian 5G secara langsung daripada DNB, penyedia rangkaian 5G di Malaysia.
 
“Kemudahan ini dijangka mempercepatkan pelaksanaan penyelidikan, pengkomersilan hasil inovasi serta pembangunan teknologi baharu dalam bidang kecerdasan buatan, Internet Kebendaan (IoT) dan sistem automasi khususnya dalam industri pertanian dan bioteknologi,” katanya.
 
Tambah beliau, kerjasama ini membolehkan UPM mengakses teknologi 5G berkelajuan tinggi dan berlatensi rendah yang sangat penting untuk penyelidikan canggih seperti AI dan data masa nyata.
 
“Ini sekaligus akan menyumbang kepada adopsi teknologi efisien dan inovasi lestari hasil penyelidikan yang boleh menyumbang kepada keterjaminan makanan negara yang merupakan mandat utama UPM,” katanya lagi.
 
Aktiviti utama yang dirancang menerusi kerjasama ini antaranya penyediaan liputan 5G di AI Sandbox UPM, penyelidikan kolaboratif dan penerbitan bersama, pembangunan sumber manusia dalam bidang teknologi termaju, pemindahan teknologi dan pengkomersilan inovasi serta perkongsian kepakaran antara UPM dan DNB.
 
Pengarah Putra Science Park, UPM, Prof. Dr. Samsilah Roslan, berkata projek AI Sandbox yang diselaraskan oleh PSP dan Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), UPM menggabungkan kepakaran dan teknologi AI di dalam pelbagai bidang penyelidikan terutamanya pertanian, bioteknologi dan ICT sebagai bidang tumpuan bagi projek perintis ini.
 
“AI Sandbox adalah platform untuk menguji semua inovasi dan aplikasi AI UPM yang merangkumi pelbagai projek yang memperkasakan dan menyokong ekosistem pertanian negara seperti pengujian algoritma untuk Kenderaan Udara Tanpa Pemandu (UAV), khususnya di ladang pintar, sistem blockchain dan gerbang pembayaran, serta lampu isyarat pintar untuk logistik berkaitan pengangkutan,” katanya.
 
Tambah beliau, projek lain AI Sandbox yang telah dirancang merangkumi pengujian dan pemasangan Model Bahasa Besar (LLMs) dalam aplikasi yang direka untuk petani dan penduduk luar bandar yang mungkin tidak memahami Bahasa Inggeris atau Bahasa Melayu standard bagi meningkatkan kebolehcapaian mereka terhadap pelbagai informasi terkini.
 
“Kerjasama ini dijangka memberi impak besar bukan sahaja kepada pembangunan penyelidikan universiti, tetapi turut menyumbang kepada pertumbuhan berasaskan teknologi dalam negara serta membuka peluang kerjasama antarabangsa melalui pengkomersilan hasil inovasi tempatan,” katanya.
 
Dalam pada itu, MoU tersebut tidak melibatkan kos pemasangan kepada UPM, manakala infrastruktur 5G yang disediakan dianggap sebagai sumbangan in-kind oleh DNB dan UPM akan bertanggungjawab terhadap aspek penyelenggaraan, operasi, dan penyesuaian infrastruktur sedia ada.
 
Usaha sama strategik ini juga secara langsung telah menjadi antara teras utama di dalam kerangka RMK-13 Ekonomi MADANI yang dibentangkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini. Ekosistem AI, penerimagunaan AI dalam pelbagai sektor termasuk Pembangunan Pelan Migrasi Kriptografi Pasca-kuantum yang dipacu oleh UPM, akan dapat dikembangkan dengan lebih pesat lagi, selaras dengan tumpuan RMK-13 ke arah menuju negara berteraskan kecerdasan buatan.

Date of Input: 05/08/2025 | Updated: 05/08/2025 | faizfarhan

MEDIA SHARING

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691294
03-89464121
X, (08:40:35am-08:45:35am, 06 Oct 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]