1 Ogos 2025 : telah berlangsung sesi menandatangani perjanjian penjualan paten bagi teknologi UPM bertajuk “A Method for Enhancing Micropores for An Activated Bioadsorbent (MY-192225-A)” bersama syarikat Advance Biomass Sdn. Bhd.
Teknologi ini merupakan biopenjerap karbon teraktif yang dihasilkan daripada biojisim abu tinggi, menggunakan kulit isirung sawit sebagai bahan mentah. Proses penghasilan melibatkan rawatan bersepadu melalui pengkarbonan dan pengaktifan fizikal, bagi meningkatkan kecekapan penjerapan.
Ia digunakan untuk merawat abu tandan kosong kelapa sawit (EFB) yang dijadikan bahan bakar di loji janakuasa biojisim. Sekiranya tidak dirawat, pembakaran biojisim boleh menghasilkan abu yang mengandungi unsur seperti kalium, klorin, silikon dan kalsium, yang boleh menyebabkan kekotoran, pembentukan slag dan pencairan abu.
Teknologi ini menyokong strategi sifar sisa industri sawit dengan mengitar semula sisa biojisim kepada produk bernilai tambah, sekali gus menyumbang kepada kelestarian dan pembangunan ekonomi negara.
Advance Biomass Sdn. Bhd. merupakan syarikat yang aktif dalam penghasilan dan penjualan karbon teraktif serta teknologi berkaitan biojisim dan komposit biojisim. Perjanjian ditandatangani oleh Dato’ Ong Choon Heng, Pengarah syarikat, dengan kehadiran wakil syarikat iaitu Dato’ Choy Weng Seong sebagai saksi.
Date of Input: 01/08/2025 |
Updated: 01/08/2025 | faizfarhan
MEDIA SHARING