PUCHONG, 20 Ogos – Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui penyelidiknya, Dr. Ahmad Haniff bin Jaafar, Pensyarah Kanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, UPM yang juga merupakan pengasas syarikat pemula (start-up) Astera Food Sdn. Bhd. di bawah program InnoHub Putra Science Park, bekerjasama dengan komuniti Siantan Apartment, Puchong, Selangor dalam projek pengkomersialan Ulam Raja.
Projek ini kini memasuki fasa penting dengan aktiviti menuai tanaman Ulam Raja untuk diproses kepada pelbagai produk bernilai tambah seperti teh, kek, coklat dan aiskrim. Produk inovatif ini bukan sahaja mengekalkan khasiat makanan tradisional, malah berpotensi tinggi untuk dieksport sebagai medium pemakanan sihat ke pasaran antarabangsa.
Peranan start-up seperti Astera Food amat penting kerana ia bertindak sebagai jambatan antara universiti, industri dan komuniti. Melalui platform ini, inovasi universiti dapat diterjemahkan kepada produk komersial, memberi peluang pekerjaan, dan mewujudkan rantaian nilai yang lebih luas dalam ekosistem sustainable agriculture.
Dengan sokongan InnoHub Putra Science Park, projek ini turut menekankan pemindahan ilmu kepada komuniti setempat, khususnya golongan B40, melalui latihan penanaman, pemprosesan dan strategi pemasaran. Usaha ini membuka ruang penjanaan pendapatan, sekali gus memperkasa sosioekonomi rakyat.
Pengkomersialan Ulam Raja diyakini mampu memberi impak sosial yang besar, meningkatkan keterjaminan makanan negara, serta mengangkat warisan makanan tradisional ke peringkat global melalui kerjasama inovatif antara universiti, komuniti, dan syarikat pemula.
Date of Input: 20/08/2025 |
Updated: 20/08/2025 | faizfarhan
MEDIA SHARING