Serdang, 5 Ogos 2025 – Universiti Putra Malaysia (UPM) terus mengorak langkah sebagai peneraju inovasi pertanian serantau apabila menerima kunjungan delegasi Tani Merdeka Indonesia dalam satu program jaringan strategik yang menghimpunkan teknologi, kepakaran dan peluang kerjasama industri merentas sempadan.
Program anjuran bersama Terradeca Sdn. Bhd. dan Putra Science Park ini turut menampilkan tiga inovasi utama UPM, termasuk dua syarikat Pemula UPM berasaskan teknologi pertanian pintar iaitu Terradeca Sdn. Bhd. dan Qarbotec Sdn. Bhd., serta Pusat Pertanian Putra yang menjadi pusat latihan pembangunan pertanian moden UPM.
Delegasi telah menghadiri sesi seminar di Bilik Seminar PSP dan dibawa melawat ke ruang pameran khas di Ruang Legar Putra Science Park, yang mempamerkan pelbagai teknologi dan produk inovasi terkini hasil penyelidikan UPM.
Program berimpak tinggi ini bukan sahaja menjadi medan pertukaran ilmu dan amalan terbaik dalam bidang agroinovasi, malah membuka potensi kerjasama strategik yang mampu melonjakkan pembangunan sektor pertanian dan bioekonomi di peringkat Asia Tenggara.
Sebagai universiti penyelidikan terkemuka, UPM kekal komited memperkukuh jaringan industri antarabangsa serta mendepani cabaran global dalam isu keterjaminan makanan dan kelestarian masa hadapan.
Date of Input: 05/08/2025 |
Updated: 05/08/2025 | faizfarhan
MEDIA SHARING